Isu fitnah sekolah pondok: Mohd Na’im kemuka LOD RM10 juta kepada pengguna FB

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar mengemukakan notis tuntutan (LOD) dengan ganti rugi sebanyak RM10 juta terhadap seorang pengguna Facebook berhubung dakwaan fitnah isu penutupan sekolah pondok di Kelantan dan Kedah.
LOD bagi pihak Mohd Na’im disediakan oleh Messrs Akberdin & Co pada Selasa dan dialamatkan kepada Muhammad Hafiz Sahidi di Marang, Terengganu.
Menerusi dokumen yang diperoleh, Mohd Na’im menuntut Muhammad Hafiz menarik balik tuduhan dan memadam semua kenyataan fitnah di semua platform media sosial dan laman sesawang.
Beliau juga menggesa lelaki itu menghentikan daripada menerbit atau menyebabkan penerbitan sebarang kenyataan fitnah terhadapnya.
“Dia dikehendaki membuat permohonan maaf tanpa syarat dalam tempoh 48 jam daripada tarikh penerimaan surat tuntutan ini dan ia perlu disiarkan di semua media sosial dan laman sesawang milik individu terbabit selama 30 hari.
“Muhammad Hafiz juga diminta membuat tawaran pampasan munasabah kepada Mohd Na’im bagi kerosakan, penghinaan dan aib yang dialami akibat kenyataan fitnah berkenaan.
“Sekiranya gagal berbuat demikian, Mohd Na’im akan mengambil tindakan undang-undang bagi mendapatkan perintah injunksi dan menuntut ganti rugi berjumlah RM10 juta, termasuk kos, faedah serta sebarang tanggungan yang diperintahkan mahkamah,” katanya tuntutan tersebut.
Surat tuntutan itu turut menyatakan bahawa, jika individu berkenaan bersedia memperbetulkan tuduhan dan memohon maaf, tindakan itu akan mengurangkan jumlah ganti rugi yang layak diterima oleh Mohd Na’im.
Bagaimanapun katanya, jika lelaki itu memaksa Mohd Na’im melalui proses perbicaraan yang panjang dan melelahkan bagi membersihkan nama, satu-satunya cara untuk memulihkan reputasi ialah melalui pemberian gantirugi yang besar oleh mahkamah.
Mohd Na’im mendakwa, individu terbabit telah menggunakan akaun Facebook atas nama ‘Hafiz Sahidi’ memuat naik beberapa hantaran berunsur fitnah.
Susulan itu, peguam yang mewakili Menteri terbabit diarahkan anak guamnya bahawa, tuduhan itu bersifat melulu, menuduh dan palsu.
Katanya, kenyataan yang dipertikaikan, dibuat dengan tujuan untuk mendedahkan anak guam kepada kebencian, penghinaan, ejekan umum, mencemarkan integriti dan peranan tadbir urus di mata masyarakat.
“Kenyataan fitnah tersebut sama sekali tidak benar dan merupakan fitnah besar terhadap watak, integriti dan reputasi anak guam kami, baik dalam kapasiti peribadi mahupun rasmi.
“Tindakan anda merupakan serangan yang disengajakan dan berniat jahat, bertujuan menjejaskan keyakinan awam terhadap anak guam kami serta mendedahkan beliau kepada kebencian dan penghinaan masyarakat,” katanya.
Pada 25 Oktober lalu, Mohd Na’im menegaskan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang menyebarkan fitnah, provokasi politik untuk menjatuhkan kredibilitinya dan kerajaan Madani, terutama membabitkan sensitiviti agama serta institusi pondok.
Beliau berkata, laporan polis telah dibuat pada 24 Oktober berhubung hantaran fitnah yang disebarkan akaun itu dan siasatan di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 telah dimohon.
Pemimpin berkenaan turut memohon Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) membantu siasatan dan mengenal pasti identiti sebenar penyebar fitnah ini.
Ringkasan AI
- Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar, mengemukakan notis tuntutan dengan ganti rugi RM10 juta terhadap pengguna Facebook atas dakwaan fitnah tentang isu penutupan sekolah pondok
- Notis tuntutan disediakan oleh Messrs Akberdin & Co dan dialamatkan kepada Muhammad Hafiz Sahidi di Marang, Terengganu
- Mohd Na'im menuntut Muhammad Hafiz menarik balik tuduhan dan memadam semua kenyataan fitnah di platform media sosial
- Jika gagal memenuhi tuntutan, Mohd Na'im akan mengambil tindakan undang-undang untuk mendapatkan injunction dan ganti rugi berjumlah RM10 juta
- Mohd Na'im telah membuat laporan polis dan meminta bantuan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk mengenal pasti identiti penyebar fitnah
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

