Rumah tunggu masa ditelan ombak

Zamri melihat kesan hakisan pantai yang semakin menghampiri kediamannya di Kampung Pantai, Batu Rakit, Kuala Nerus.
Zamri melihat kesan hakisan pantai yang semakin menghampiri kediamannya di Kampung Pantai, Batu Rakit, Kuala Nerus.
A
A
A

KUALA NERUS – Sebanyak sembilan buah rumah penduduk di Kampung Pantai, Batu Rakit di sini termasuk sebuah pangkalan nelayan yang menempatkan kira-kira 60 buah bot sebelum ini berisiko musnah akibat hakisan pantai yang semakin kritikal.

Keadaan yang bermula sejak November tahun lalu kini membimbangkan penduduk kerana ombak yang deras menghakis tanah dengan cepat, sekali gus mengancam keselamatan mereka.

Seorang penduduk, Zamri Sulong, 42, berkata, rumah pusaka didiami bersama keluarga yang dibaik pulih dan hampir siap 60 peratus runtuh dihanyutkan ombak pada Januari lalu.

“Rumah itu saya bina dengan kos kira-kira RM40,000. Masa kejadian ombak kuat dan kawasan tebing rumah setinggi lebih 3.9 meter runtuh. Waktu tu rumah ini belum sempat siap sepenuhnya dan semuanya telah musnah.

Zamri menunjukkan keadaan rumahnya di Kampung Pantai, Batu Rakit yang rosak akibat hakisan pantai sejak hujung tahun lalu.
Zamri menunjukkan keadaan rumahnya di Kampung Pantai, Batu Rakit yang rosak akibat hakisan pantai sejak hujung tahun lalu.

“Sekarang saya bersama keluarga terpaksa tinggal di rumah sewa disediakan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam).

“Ada yang berjanji untuk beri tanah baharu kepada kami yang terkesan di sini, tetapi sehingga kini tiada sebarang keputusan,” katanya yang mempunyai empat anak berusia antara 7 hingga 15 tahun.

Sementara itu, warga emas, Mat Yusoff Abdullah, 73, berkata, hakisan yang berlaku sejak hujung tahun lalu turut memusnahkan pangkalan nelayan yang sebelum ini menempatkan lebih 60 bot dan beberapa buah bangsal.

Artikel Berkaitan:

Mat Yusoff
Mat Yusoff

“Dulu ada pangkalan nelayan di sini untuk memudahkan mereka memunggah ikan. Sekarang semua bot sudah berpindah ke Tok Jembal.

“Selain itu, boleh katakan banyak juga pokok kelapa yang tumbang akibat hakisan di sini, kalau saya tak silap lebih 50 pokok yang sudah tumbang.

“Kita ada mohon tambah benteng pemecah ombak di sini supaya rumah di kawasan ini kurang risiko hakisan, tapi belum ada jawapan. Ombak di sini tidak terlalu tinggi, tetapi arusnya sangat laju dan menghakis pantai dengan cepat,” katanya.

Bagi seorang lagi penduduk, Rohmah Abd Ghani, 60, keadaan semakin membimbangkan apabila rumah pusaka keluarganya yang berusia lebih 80 tahun turut berada dalam kawasan berisiko.

Rohmah
Rohmah

“Kalau dikira, hakisan ini sudah memakan hampir dua kilometer kawasan rumah ini. Sekarang kalau ombak kuat, beberapa saat saja sudah sampai ke tepi rumah.

“Musim tengkujuh belum masuk lagi tapi kami sekeluarga sudah tidak lena tidur kerana bimbang rumah roboh bila-bila masa. Kami harap ada benteng atau tambakan segera seperti dibuat di kawasan lain,” katanya.

Kawasan terjejas perlu segera dibaiki elak kesan lebih buruk

Sementara itu, Pengerusi Penyelaras UMNO DUN Batu Rakit, Bazlan Abdul Rahman berkata, beliau turun padang meninjau kawasan terbabit selepas menerima aduan daripada penduduk.

Katanya, pihak berwajib termasuk Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) diminta segera mengambil tindakan susulan sebelum musim tengkujuh bermula hujung tahun ini.

Bazlan
Bazlan

“Setakat ini tiga keluarga sudah dipindahkan ke rumah Maidam manakala enam lagi masih bertahan.

“Saya difahamkan pemimpin setempat termasuk JPS sudah maklum isu ini tetapi mereka berdepan kekangan bajet,” katanya.

Walaupun begitu beliau berkata, pihaknya berharap langkah jangka pendek dapat segera diambil bagi menyelamatkan kawasan itu daripada musnah.

“Kita mahu penyelesaian segera, sama ada melalui tambakan tebing atau menyediakan tanah gantian kepada penduduk yang terjejas.

“Kalau boleh kita mahu masalah hakisan di kawasan ini tidak dipandang remeh kerana melibatkan sembilan buah rumah yang ada antaranya sudah runtuh. Jangan tunggu sampai musim tengkujuh baru bertindak,” katanya.

Ringkasan AI

  • Sembilan buah rumah dan pangkalan nelayan di Kampung Pantai, Batu Rakit di Kuala Nerus berisiko musnah akibat hakisan pantai
  • Hakisan bermula sejak November tahun lalu, meningkatkan kebimbangan penduduk akibat ombak deras
  • Seorang penduduk, Zamri Sulong, kehilangan rumah pusaka yang hampir siap dibina dengan kos kira-kira RM40,000
  • Mat Yusoff Abdullah menyatakan pangkalan nelayan yang menempatkan lebih 60 bot dan beberapa bangsal juga musnah
  • Pihak berwajib diminta segera mengambil tindakan, termasuk penyediaan benteng pemecah ombak, sebelum musim tengkujuh bermula

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!