Enam rumah musnah dijilat api

TELUK INTAN - Sebanyak enam buah rumah musnah dalam kejadian kebakaran di Jalan Mak Intan, Kampung Terengganu di sini tengah malam tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Teluk Intan, Mohd Ismail Mohd Yunus berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian tersebut pada jam 12.40 tengah malam.
Menurutnya, susulan itu sepasukan anggota dan jentera dari BBP Teluk Intan digerakkan ke lokasi kejadian dengan turut dibantu BBP Hutan Melintang bersama Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Teluk Intan dan PBS Batu 12 bagi memadamkan kebakaran.
“Setibanya anggota di lokasi, api didapati marak membakar enam buah rumah kelas B dengan anggaran kemusnahan 90 peratus.
“Turut musnah dalam kebakaran itu tiga buah motosikal. Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan punca kebakaran masih dalam siasatan,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Mohd Ismail berkata, operasi itu turut dibantu anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan pasukan polis.

Beliau berkata, operasi pemadaman dijalankan menggunakan tiga aliran sepanjang 400 kaki dengan lima pancutan di bahagian depan, belakang dan sisi rumah menggunakan sumber air dari pili bomba serta tangki jentera.
Katanya, kebakaran berkenaan berjaya dikawal pada jam 1.12 pagi dan operasi tamat sepenuhnya pada jam 3.04 pagi.
Ringkasan AI
- Enam buah rumah musnah dalam kebakaran di Jalan Mak Intan, Kampung Terengganu, Teluk Intan
- Kebakaran berlaku tengah malam, pihak bomba menerima panggilan pada jam 12.40
- Pasukan bomba dari Teluk Intan dan beberapa pasukan sukarelawan terlibat dalam operasi pemadaman
- Kemusnahan rumah dianggarkan 90 peratus dan tiga buah motosikal juga musnah
- Tiada kemalangan jiwa dilaporkan, punca kebakaran masih dalam siasatan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

