Inkues Zara Qairina: Zara disyaki curi dompet rakan sebilik - Saksi

KOTA KINABALU – Saksi ke-27 dalam inkues kematian Zara Qairina Mahathir memberitahu Mahkamah Koroner bahawa pelajar Tingkatan Satu itu disyaki mencuri dompet rakan sebilik selepas kad panggilan milik pelajar lain ditemui di tempatnya.
Saksi yang juga kanak-kanak ke-18 memaklumkan perkara itu dalam keterangannya secara in camera di hadapan Hakim Koroner, Amir Shah Amir Hassan, pada Rabu.
Peguam Joan Goh berkata, saksi memanggil remaja berusia 13 tahun itu dengan nama pendeknya, iaitu 'Zara'.
“Saksi memberitahu, semasa berada di dalam dorm, Zara sentiasa tidur di atas permaidani miliknya di lantai dan kadangkala tidur di atas katil sendiri. Zara pernah memberitahu saksi bahawa dia malas memasang cadar.
“Pada 15 Julai 2025, pada waktu malam ketika saksi berada di dalam dorm, saksi ada melihat Zara. Saksi mendengar suara dari bilik sebelah yang memanggil Zara supaya datang ke bilik lain.
“Dua rakan dorm telah membawa saksi dan seorang lagi rakan dorm untuk memeriksa loker Zara. Mereka memeriksa loker tersebut bagi mencari barang yang hilang kerana dompet milik rakan dorm telah hilang. Namun, tiada barang hilang dijumpai. Zara disyaki mencuri kerana sebelum itu, kad panggilan pelajar lain pernah dijumpai di tempat Zara,” katanya kepada pemberita di pekarangan Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu, di sini.
Joan berkata, saksi memaklumkan bahawa sebelum ini dia pernah melihat Zara membuat ‘barcode’ pada lengannya dan Zara turut menunjukkan cara melakukan torehan tersebut.
“Ketika itu, hanya mereka berdua. Saksi juga pernah melihat kesan parut 'barcode' di lengan Zara. Semua itu ditunjukkan oleh Zara sebelum kejadian pada malam 15 Julai 2025. Pada masa itu, tiada orang lain selain mereka berdua.
“Setahu saksi, malam pada 15 Julai itu merupakan kali pertama Zara dipanggil oleh pelajar senior. Zara tidak pernah menjerit atau menangis sebelum ini. Zara juga tidak pernah mengadu kepada saksi tentang masalah peribadi atau berkonflik dengan sesiapa.
“Zara juga tidak pernah meluahkan perasaan takut, sedih atau ingin menyendiri. Zara tidak pernah mengadu kepada saksi tentang gangguan di asrama seperti buli, tekanan belajar mahupun keletihan. Zara lebih suka meluahkan perasaan dalam diarinya. Saksi tidak pernah memegang atau membaca diari Zara,” katanya.
Tambah Joan lagi, saksi tidak pasti sama ada Zara Qairina mempunyai konflik dengan pelajar lain di sekolah tersebut dan saksi sendiri tidak mempunyai konflik dengan Zara.
“Saksi tidak pernah nampak Zara dimarahi secara bersendirian atau diganggu oleh pelajar lain, kecuali pada malam 15 Julai 2025. Namun, seorang pelajar senior pernah menegur Zara supaya menghormati ibunya apabila melihat Zara menulis sesuatu di atas kertas.
“Saksi tahu Zara mempunyai diari sendiri tetapi tidak pernah membaca diari milik Zara. Saksi juga tidak tahu apa yang ditulis Zara dan tidak pasti berapa buah diari yang dimilikinya. Setahu saksi, Zara akan menulis diari pada waktu lapang, sama ada siang atau malam. Saksi juga tidak tahu di mana Zara menyimpan diarinya,” katanya.
Joan bersama rakan sepasukannya, Datuk Ram Singh dan Prem Elmer Ganasan mewakili salah seorang daripada lima pelajar yang dinamakan dalam kes berkaitan Zara Qairina dan mereka bertindak sebagai pihak berkepentingan dalam inkues tersebut.
Allahyarham Zara Qairina ditemui tidak sedarkan diri di bawah bangunan asrama sekolahnya pada awal pagi 16 Julai lalu sebelum meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth (HQE) pada keesokan harinya.
Ringkasan AI
- Saksi ke-27 dalam inkues kematian Zara Qairina Mahathir menyatakan pelajar tersebut disyaki mencuri dompet rakan sebilik
- Zara biasa tidur di atas permaidani dan kadang kala di katil sendiri tanpa cadar
- Pada 15 Julai, Zara dilihat oleh saksi dan disyaki mencuri setelah kad panggilan milik pelajar lain ditemui di tempatnya
- Zara sebelumnya pernah menunjukkan cara membuat 'barcode' torehan pada lengan kepada saksi
- Zara ditemui tidak sedarkan diri di bawah bangunan asrama sekolah pada 16 Julai dan meninggal dunia esok hari di Hospital Queen Elizabeth
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
