Pegawai bank mengaku tidak bersalah terima rasuah RM488,050

KUALA TERENGGANU - Seorang ketua unit pembiayaan sebuah bank di Kuala Lumpur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin atas 79 pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM488,050 antara 2018 hingga 2022.
Tertuduh, Syed Mohd Muhaimin Syed Mohd Mashrof, 42, membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohd Azhar Othman.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa menerima sejumlah wang ke dalam akaun miliknya sebagai dorongan membantu memproses permohonan pembiayaan pinjaman peribadi pelanggan Syarikat CSA Academy Sdn Bhd di bank tersebut.
Perbuatan itu dikatakan dilakukan secara serentak dengan permohonan pinjaman peribadi pelanggan di beberapa institusi kewangan lain sehingga menyebabkan pelanggan mempunyai beberapa pinjaman peribadi melebihi had kelayakan.
Semua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 16(a) (A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.
Jika sabit kesalahan, tertuduh berdepan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi jika sabit kesalahan.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM50,000 dengan seorang penjamin dan diarahkan melapor diri di Pejabat SPRM terdekat setiap bulan bermula November ini.
Kes itu dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM, Rabiatul Addawiyah Mohd Noorlee manakala tertuduh diwakili peguam, Arik Zakri Abdul Kadir.
Mahkamah turut memerintahkan kes itu dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur untuk sebutan semula kes dan tarikh akan dimaklumkan kemudian.
Ringkasan AI
- Seorang ketua unit pembiayaan bank di Kuala Lumpur didakwa menerima rasuah RM488,050 antara 2018 hingga 2022
- Tertuduh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu
- Rasuah diterima untuk memproses permohonan pembiayaan pinjaman peribadi pelanggan Syarikat CSA Academy Sdn Bhd
- Tertuduh berdepan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda jika sabit kesalahan
- Mahkamah membenarkan jamin RM50,000 dan kes dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur untuk sebutan semula
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
