Cadang guna kamera badan cegah rasuah di institusi kewangan

Sinar Harian sebelum ini melaporkan seorang eksekutif bank didakwa di Mahkamah Sesyen Seremban atas dua pertuduhan menerima rasuah RM4,000.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan seorang eksekutif bank didakwa di Mahkamah Sesyen Seremban atas dua pertuduhan menerima rasuah RM4,000.
A
A
A

SHAH ALAM – Penggunaan kamera badan oleh pegawai bank disarankan sebagai langkah proaktif dalam menangani isu rasuah dan salah guna kuasa dalam sektor kewangan.

Pengerusi Gabungan Rasuah Busters Selangor, Wilayah Persekutuan dan Putrajaya, Profesor Dr Hamdan Daniel M Sharib berkata, inisiatif itu bukan sahaja boleh memperkukuh amalan integriti, malah meningkatkan ketelusan dalam urusan harian antara pegawai bank dan pelanggan.

"Rakaman dari kamera badan boleh menjadi bahan bukti penting, terutama ketika perbincangan di bilik rundingan atau semasa pengurusan dokumen sensitif dijalankan.

"Ia mampu memberi perlindungan dua hala – kepada pelanggan daripada sebarang salah laku, dan kepada pegawai bank daripada tuduhan tidak berasas," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Sebelum ini, seorang eksekutif bank didakwa di Mahkamah Sesyen Seremban pada Selasa atas dua pertuduhan menerima rasuah RM4,000 membabitkan pembiayaan permohonan pinjaman peribadi melebihi had kelayakan pada 2023.

Mengulas lanjut,  Hamdan Daniel berkata, kamera badan boleh bertindak sebagai langkah pencegahan awal terhadap cubaan merasuah atau manipulasi prosedur dalaman.

"Dengan adanya pemantauan berterusan, individu yang berniat menyeleweng akan berfikir dua kali. Ini secara tidak langsung membantu memelihara kepercayaan awam terhadap sistem kewangan negara," ujarnya.

Menurut beliau, integriti juga bukanlah sekadar konsep, tetapi satu nilai yang harus diterap, diamalkan dan dibudayakan dalam setiap aspek kehidupan individu dan jabatan sama ada dalam sektor awam, swasta mahupun dalam kalangan masyarakat umum.

Jelasnya, apabila integriti dijadikan budaya harian, ia akan membentuk persekitaran yang bebas daripada penyelewengan, salah guna kuasa dan jenayah rasuah.

Artikel Berkaitan:

Ringkasan AI

  • Penggunaan kamera badan oleh pegawai bank disarankan untuk menangani isu rasuah dan salah guna kuasa
  • Inisiatif ini meningkatkan ketelusan dan mengukuhi amalan integriti dalam sektor kewangan
  • Rakaman dari kamera badan boleh dijadikan bahan bukti penting dalam urusan sensitif
  • Kamera badan memberi perlindungan kepada pelanggan dan pegawai bank dari salah laku dan tuduhan tidak berasas
  • Integriti ditekankan sebagai nilai penting yang harus diterapkan dalam semua aspek kehidupan untuk mencegah penyelewengan dan rasuah

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!