Bebas kanser, Jamal Yunos bantu nelayan Sekinchan jana RM15,000 sebulan jual ikan masin

Jamal menunjukkan pelbagai jenis ikan masin yang dijual di pusat pengumpulan itu di Kampung Sungai Leman di sini.
Jamal menunjukkan pelbagai jenis ikan masin yang dijual di pusat pengumpulan itu di Kampung Sungai Leman di sini.
A
A
A

SEKINCHAN – Setelah melalui perjuangan getir melawan kanser tahap akhir, Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos kini bangkit dengan usaha membantu nelayan tempatan menjana pendapatan melalui industri ikan masin di Sekinchan.

Beliau yang kini disahkan bebas daripada penyakit tersebut telah menubuhkan Pusat Pengumpulan Ikan Masin Sekinchan di Kampung Sungai Leman sebagai inisiatif membantu penduduk menjadikan hasil laut sebagai produk hiliran yang menguntungkan.

Menurut Jamal, pusat itu kini disertai 10 keluarga nelayan kecil dan dalam tempoh sebulan beroperasi, mereka berjaya mencatatkan jualan mencecah RM150,000, dengan setiap peserta memperoleh pendapatan sehingga RM15,000.

“Dulu mereka hanya menjual ikan murah seperti gelama atau cencaru dengan harga RM1 hingga RM2 sekilogram, namun apabila ikan itu diproses menjadi ikan masin, nilainya meningkat berkali ganda.

“Kami membeli hasil mereka secara tunai, selain menyediakan modal kepada mereka yang belum berkemampuan dan hasilnya sangat memberangsangkan,” katanya ketika ditemui Sinar Harian pada Isnin.

Jamal yang pulih daripada kanser membantu nelayan memasarkan produk ikan masin Sekinchan.
Jamal yang pulih daripada kanser membantu nelayan memasarkan produk ikan masin Sekinchan.

Beliau memaklumkan, projek itu turut mendapat perhatian Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional yang bersetuju membiayai pengusaha kecil yang terlibat dalam program tersebut.

Jamal berkata, idea untuk menubuhkan pusat itu tercetus ketika beliau menjalani rawatan kanser selama lima bulan di hospital.

Artikel Berkaitan:

“Saya orang meniaga, jadi apabila duduk di hospital saya fikir apa yang boleh dilakukan untuk bantu orang kampung, terutama golongan nelayan.

“Dari situlah timbul idea untuk menjadikan Sekinchan bukan sekadar terkenal dengan ikan segar, tetapi juga ikan masin sebagai produk IKS (Industri Kecil dan Sederhana) baharu,” jelasnya.

Beliau menambah, pusat tersebut bukan hanya berperanan sebagai perniagaan, tetapi juga langkah membangunkan IKS baharu yang berpotensi menjadi tarikan pelancongan utama di Sekinchan.

“Kalau pengunjung ke Langkawi, mereka cari ikan bilis. Begitu juga di Tanjung Dawai, mereka cari ikan kering.

“Saya mahu apabila orang datang ke Sekinchan, mereka mesti singgah beli ikan masin dan ini bakal menjadi identiti baharu kawasan ini,” ujarnya.

Menurut Jamal, terdapat lebih 20 jenis produk ikan masin yang dihasilkan di pusat tersebut termasuk ikan bulu ayam, cencaru, gelama, pelbagai jenis ikan kering serta perkasam.

Beliau turut berkongsi keadaan kesihatannya yang kini dalam kawalan selepas berdepan ujian kanser paru-paru tahap empat yang pernah merebak ke otak dan saraf.

“Saya serahkan semua kepada ALLAH SWT. Paling penting adalah doa dan semangat.

“Sakit bukan alasan untuk berhenti hidup, sebaliknya ia menjadi pembakar semangat untuk terus berbuat sesuatu yang bermanfaat,” tambahnya.

Sinar Harian pada 9 Jun lalu melaporkan bahawa Jamal mengesahkan beliau kini bebas daripada kanser tahap akhir selepas lima bulan bertarung nyawa melawan penyakit itu.

Jamal memaklumkan bahawa kanser yang pada awalnya dikesan di paru-paru sebelum merebak ke otak dan seluruh badan, kini sudah tidak lagi dikesan dalam tubuhnya selepas melalui rawatan intensif.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!