Pertandingan Memancing Festival Sungai Melaka tawar hadiah RM15,000

MELAKA – Hadiah wang tunai lebih RM15,000 dan pelbagai barangan menanti pemenang Pertandingan Memancing Festival Sungai Melaka yang akan diadakan di sini pada Ahad ini.
Pertandingan anjuran Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) dengan kerjasama Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Melaka itu menawarkan hadiah wang tunai RM7,000 kepada juara, RM1,000 kepada pemenang tempat kedua dan RM500 kepada tempat ketiga.
Pemenang tempat keempat akan menerima RM400, tempat kelima RM300 manakala tempat keenam hingga ke-80 masing-masing akan membawa pulang RM80, sementara tempat ke-81 hingga ke-100 pula akan menerima baucar barangan.
Ketua Pegawai Eksekutif PPSPM, Shahrul Azuar Idris berkata, pertandingan yang berlangsung dari jam 9 pagi hingga 12.30 tengah hari itu akan diadakan di Kilang Makan (Esplanade) Melaka.
“Kawasan memancing dibuka sepanjang dua kilometer di mana Kilang Makan Melaka akan menjadi pusat pendaftaran, penimbangan dan penyampaian hadiah.
“Kaunter pendaftaran akan dibuka di Kilang Makan Melaka pada pagi Ahad, bermula jam 7 pagi hingga pertandingan bermula.
“Bagi peserta yang ingin membuat pendaftaran awal, mereka boleh hadir ke pejabat PPSPM di Pangkalan Rama pada 24 dan 25 Oktober, waktu pejabat,” katanya.
Tambah beliau, ini merupakan kali ketiga PPSPM menganjurkan pertandingan memancing di Sungai Melaka.
"Tahun lalu, lebih daripada 3,000 ekor ikan berjaya didaratkan oleh peserta dan sebahagian besarnya merupakan spesies tilapia.
"Selain tilapia, beberapa spesies lain turut mendiami Sungai Melaka termasuk haruan, toman, keli dan lain-lain. Semua spesies ikan dipertandingkan kali ini, kecuali spesies ikan bandar raya,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
