Kerjasama ASEAN-Korea mampu pacu pertumbuhan inklusif, pasaran terbuka - PM

Anwar (kanan) menyambut mesra Presiden Korea Selatan, Lee Jae Myung pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada Isnin. Foto Bernama
Anwar (kanan) menyambut mesra Presiden Korea Selatan, Lee Jae Myung pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada Isnin. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ASEAN dan Korea mampu membentuk satu ekosistem yang memacu peluang baharu, memupuk pertumbuhan inklusif serta memperkukuh pasaran terbuka dengan menggabungkan potensi pertumbuhan ASEAN dan kekuatan republik itu.

Dalam ucapan pembukaannya pada Sidang Kemuncak ASEAN-Korea ke-26, beliau berkata, hubungan antara blok serantau ini dan republik itu yang terjalin selama lebih tiga dekad adalah dibina berasaskan kepercayaan dan rasa hormat bersama, serta membawa manfaat kepada kedua-dua pihak.

Anwar berkata, pada 2024, nilai perdagangan antara ASEAN dan Korea melebihi AS$200 bilion, mencerminkan kekuatan serta daya tahan hubungan perdagangan kedua-dua pihak.

"Meskipun berdepan gangguan teknologi, persaingan strategik, rantaian bekalan yang terpecah-pecah, ASEAN dan Republik Korea menonjol sebagai negara yang menunjukkan bahawa kemajuan boleh dan perlu diperkukuh melalui kerjasama dan kolaborasi,” katanya.

Mesyuarat itu dipengerusikan bersama oleh Presiden Korea Selatan Lee Jae Myung. Turut hadir pemimpin ASEAN lain.

Jae Myung juga dijadual menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN Campur Tiga (ASEAN+3) ke-28 bersama Jepun dan China bagi membincangkan usaha memperkukuh kerjasama serantau yang lebih luas.

Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan, yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur selama tiga hari mulai semalam di bawah Kepengerusian ASEAN Malaysia 2025 dengan tema "Keterangkuman dan Kemampanan”, menghimpunkan lebih 3,000 delegasi serta pemimpin penting daripada lebih 30 negara dan organisasi bagi memperkukuh penglibatan serta kerjasama serantau. - Bernama

 

 

Artikel Berkaitan:

Ringkasan AI

  • Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan ASEAN dan Korea dapat membentuk ekosistem yang memacu pertumbuhan inklusif
  • Hubungan ASEAN-Korea dibina berasaskan kepercayaan dan rasa hormat bersama selama lebih tiga dekad
  • Nilai perdagangan antara ASEAN dan Korea pada 2024 dijangka melebihi AS$200 bilion
  • ASEAN dan Republik Korea menunjukkan kemajuan melalui kerjasama meskipun berdepan gangguan teknologi dan persaingan strategik
  • Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan berkaitan di Kuala Lumpur menghimpunkan lebih 3,000 delegasi untuk memperkuat kerjasama serantau

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!