TMM 2026: Pacu pertumbuhan ekonomi negara, pendapatan rakyat

Pulau Langkawi menjadi salah satu destinasi pelancongan terkenal di Kedah.
Pulau Langkawi menjadi salah satu destinasi pelancongan terkenal di Kedah.
A
A
A

SHAH ALAM – Dalam Belanjawan 2026, kerajaan menegaskan bahawa setiap ringgit yang dibelanjakan mesti memberi pulangan langsung kepada rakyat melalui penciptaan peluang pekerjaan, peningkatan pendapatan dan pembangunan komuniti.

Dengan peruntukan RM700 juta, kempen Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026 bukan sekadar slogan jemputan pelancongan, tetapi strategi menyeluruh untuk menjana pendapatan negara, menarik pelaburan swasta, serta memperkukuh asas ekonomi.

Inisiatif ini dijangka menjadi pemacu utama fasa pemulihan ekonomi rakyat dengan sasaran pendapatan pelancongan sebanyak RM329 bilion dan penjanaan peluang pekerjaan meluas dalam pelbagai sektor, sekali gus mensasarkan 47 juta pelawat antarabangsa ke Malaysia.

Ia merupakan salah satu projek berimpak tinggi di bawah teras Pertumbuhan dalam Belanjawan Madani Keempat (2026).

Langkah ini juga mencerminkan keyakinan kerajaan terhadap potensi industri pelancongan dan kreatif sebagai pemacu kepada peluang pekerjaan dan sumber pendapatan untuk rakyat, khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta komuniti luar bandar.

Menurut pakar ekonomi dari UniKL Business School, Profesor Madya Dr  Aimi  Zulhazmi  Abdul  Rashid, industri pelancongan wajar dilihat sebagai pendorong utama dalam ekonomi global yang tidak menentu kerana pelaburan RM700 juta dalam Belanjawan 2026 mampu memberi kesan berlipat ganda kepada pelbagai sektor seperti makanan, perhotelan dan pengangkutan.

AIMI ZULHAZMI
AIMI ZULHAZMI

"Sektor ini menyumbang hampir 15 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara dengan jumlah sekitar RM238 bilion.

Artikel Berkaitan:

"Laporan daripada Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) untuk suku ketiga 2025 menunjukkan bahawa aktiviti pelancongan semasa cuti umum dan cuti sekolah telah mendorong pertumbuhan sektor perkhidmatan komponen induk yang menyumbang lebih separuh kepada keluaran ekonomi negara dengan kadar pertumbuhan stabil sebanyak 5.1  peratus.

"Menurut Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, pelancongan berperanan dalam meningkatkan permintaan dalam negeri dan menarik pelaburan modal luar walaupun berdepan dasar perdagangan yang tidak menentu," katanya kepada Sinar Harian.

Tambahnya, kesan pelancong asing yang banyak berbelanja di Malaysia juga memberi sokongan kepada pengukuhan nilai ringgit.

Keindahan kawasan pantai seperti Pulau Redang di Terengganu menjadi tarikan utama pelancong dalam dan luar negara.
Keindahan kawasan pantai seperti Pulau Redang di Terengganu menjadi tarikan utama pelancong dalam dan luar negara.

Aimi  Zulhazmi berkata, keadaan serupa berlaku di Thailand, di mana industri pelancong menyumbang sehingga 30 peratus kepada KDNK.

"Bagi tempoh Januari hingga Ogos 2025, Malaysia telah merekodkan 28.24 juta pelawat berbanding 21.88 juta ke Thailand. Momentum ini wajar dimanfaatkan untuk TMM 2026 dengan pelaburan RM700 juta," katanya.

Bagaimanapun, Pensyarah Kanan Ekonomi & Perbankan dari Universiti Sains Islam Malaysia, Dr Mohd Faisol Ibrahim menyifatkan sasaran pelaburan RM700 juta bagi menjana pulangan RM329 bilion sebagai sangat berani dan berisiko, terutama di tengah ketidaktentuan geopolitik dan geoekonomi global.

MOHD FAISOL
MOHD FAISOL

Beliau menegaskan, untuk mencapai sasaran itu, tatakelola berdisiplin, komprehensif dan bebas daripada ketirisan adalah penting.

"Khususnya, penglibatan RM500 juta untuk promosi TMM 2026 dalam dan luar negara harus benar‑benar dilaksanakan dengan objektif jelas.

"Dengan unjuran 47 juta pelancong asing, jika tepat dilaksanakan, impak limpahan kepada ekonomi negara akan sangat besar bukan sahaja kepada sektor pelancongan tetapi juga pengangkutan, perhotelan, perkhidmatan serta makanan dan minuman.

"Ringgit juga akan memperlihatkan kedudukan yang kukuh kerana permintaan terhadap pertukaran mata wang asing ke ringgit akan meningkat pada tahun hadapan," katanya.

Dalam masa yang sama, ujarnya, perkhidmatan gig dan inap desa dijangka melonjak akibat TMM 2026.

Cameron Highlands merupakan antara destinasi paling menarik di Malaysia yang mempunyai udara sejuk, pemandangan hijau dan banyak tempat cantik untuk berjalan-jalan atau bersantai.
Cameron Highlands merupakan antara destinasi paling menarik di Malaysia yang mempunyai udara sejuk, pemandangan hijau dan banyak tempat cantik untuk berjalan-jalan atau bersantai.

Menurutnya, negeri‑negeri seperti Kedah, Melaka, Kuala Lumpur, Selangor, Sabah dan Johor, yang mempunyai destinasi pelancongan menarik diramalkan akan mencatat pertumbuhan KDNK negeri yang tinggi, sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan KDNK nasional.

"Permintaan barangan domestik dijangka meningkat ketara, memberi manfaat kepada peniaga tempatan, khususnya industri kecil dan sederhana (IKS) serta gerai‑gerai kecil.

"Walau bagaimanapun, kejayaan inisiatif ini bergantung kepada tatakelola yang baik, kerjasama strategik dan penyertaan komuniti yang aktif.

"Khususnya, kerajaan perlu memastikan pekerjaan yang diwujudkan diisi oleh warganegara Malaysia dan bukan secara besar‑besaran oleh pekerja asing.

"Tindakan pencegahan juga perlu diambil agar TMM 2026 tidak dijadikan saluran untuk warga asing mengambil peluang masuk kekal di Malaysia," katanya.

INFOGRAFIK

Perincian pecahan peruntukan RM700 juta

RM500 juta untuk kempen TMM 2026;

-RM60 juta dana galakan promosi, pemasaran dan acara kebudayaan;

-RM50 juta untuk menyokong pengusaha seni dan warisan seperti penggiat kraf, batik dan tenunan;

-RM50 juta untuk geran padanan penerbangan antarabangsa dan carter ke Malaysia melalui pelaburan syarikat antarabangsa seperti British Airways, Hong Kong Express dan Jiangxi Air;

-RM25 juta untuk menambah baik kemudahan pelancongan termasuk memulihara tapak UNESCO seperti Taman Negara Gunung Mulu (Sarawak), Lembah Lenggong (Perak) dan FRIM Forest Park (Selangor); dan

-RM20 juta untuk mempergiat program pelancongan kesihatan oleh Majlis Pelancongan Kesihatan Malaysia.

TMM 2026: Memacu pemulihan dan kemakmuran industri pelancongan negara

Menurut Presiden Persatuan Hotel Bajet dan Bisnes Malaysia (MyBHA), Dr  Sri  Ganesh  Michiel, TMM 2026 ialah inisiatif nasional yang amat signifikan dalam usaha mengukuhkan kembali industri pelancongan negara pasca pandemik.

GANESH
GANESH

Beliau berkata, selain daripada pemulihan bilangan pelancong antarabangsa, kempen ini juga bertujuan mempertingkatkan kualiti pengalaman pelancong, memperluas sumbangan kepada ekonomi negara dan memacu pertumbuhan industri yang mampan dan inklusif.

"Pelaksanaan TMM 2026 melibatkan pelbagai peringkat dari promosi nasional dan antarabangsa oleh kerajaan hinggalah kepada aktiviti di negeri dan komuniti.

"Kesiapsiagaan industri amat penting, termasuk penyediaan kemudahan penginapan, pengangkutan, keselamatan dan pengurusan pelawat.

"Semua ahli persatuan bidang hotel, agensi pelancongan dan pengusaha produk pelancongan kini melaksanakan langkah persediaan dengan meningkatkan kapasiti dan operasi serta memberi perhatian kepada latihan semula dan peningkatan kemahiran pekerja demi menyamakan konsep ‘Mesra Malaysia’ yang digerakkan oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) serta ‘Sayangi Malaysia’ oleh Tourism Productivity Nexus (TPN)," katanya.

Ujarnya, kemudahan digital turut dipertingkat melalui laman web mesra pengguna, sistem tempahan dalam talian yang cekap, serta promosi dan komunikasi berbilang bahasa.

Tambah beliau, aspek kebersihan, keselamatan dan kualiti perkhidmatan diberi perhatian tinggi agar pelancong berasa yakin dan selesa sepanjang berada di Malaysia.

"TMM 2026 juga memerlukan kerjasama strategik antara sektor awam dan swasta dalam promosi bersama dan penjenamaan destinasi. Promosi bersepadu antara agensi pelancongan, syarikat penerbangan dan hotel diyakini memberikan impak lebih besar kepada pasaran sasaran.

"Setiap negeri perlu memperkukuh penjenamaan destinasi masing‑masing dengan identiti tersendiri berasaskan pelancongan budaya, makanan, alam semula jadi atau acara MICE (Mesyuarat, Insentif, Persidangan dan Pameran).

Melaka terkenal dengan bangunan bersejarah dan makanan daripada kepelbagaian bangsa yang terdapat di negara ini.
Melaka terkenal dengan bangunan bersejarah dan makanan daripada kepelbagaian bangsa yang terdapat di negara ini.

"Promosi digital dan media antarabangsa juga perlu digerakkan untuk meningkatkan pengiktirafan Malaysia sebagai destinasi pilihan pelancong global, sama seperti yang disaksikan semasa penganjuran Global Travel Meet 2025 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL),” katanya.

Katanya lagi, pengusaha produk pelancongan di seluruh negara turut memainkan peranan penting dalam memperkayakan pengalaman pelancong.

Jelasnya, di kawasan bandar, fokus perlu diberikan kepada pelancongan bernilai tinggi seperti kulinari, kesihatan dan acara antarabangsa.

"Manakala di kawasan luar bandar, pelancongan komuniti, agropelancongan dan ekopelancongan perlu digerakkan dengan keutamaan kepada kebersihan, keselamatan dan kelestarian," katanya.

Namun, tambah beliau, industri pelancongan menghadapi cabaran besar seperti kekurangan tenaga kerja terlatih, kos operasi yang tinggi termasuk utiliti, bahan mentah, serta infrastruktur dan logistik yang perlu dipertingkat khususnya untuk destinasi luar bandar dan pulau‑pulau.

Ujarnya, insentif kerajaan dan sokongan cukai sementara boleh membantu meringankan beban ini.

"Promosi antarabangsa pula harus disasarkan secara strategik dengan kerjasama antara Tourism Malaysia, syarikat penerbangan dan agensi pelancongan untuk memastikan kempen TMM 2026 benar‑benar berkesan.

"Untuk memaksimumkan manfaat ekonomi daripada TMM 2026, beberapa penambahbaikan perlu dilaksanakan seperti KPI yang realistik bukan hanya bilangan ketibaan pelancong, tetapi juga kadar perbelanjaan dan tempoh penginapan pelancong.

"Dana khas untuk kesiapsiagaan industri perlu diwujudkan untuk membantu pengusaha kecil menaik taraf sistem digital, memperoleh pensijilan dan membangunkan kemudahan asas," katanya.

Industri kreatif rakan strategik pelancongan negara menjelang TMM 2026

Sementara itu, penerbit dan pengarah, Shuhaimi Lua berkata, walaupun berdepan pelbagai cabaran, sektor ini terus menghasilkan kandungan yang bukan sahaja menghiburkan, tetapi turut memperkenalkan keunikan Malaysia kepada dunia daripada dokumentari budaya dan sejarah, video masakan tradisional, hinggalah filem dan drama yang memaparkan keindahan lokasi tempatan.

SHUHAIMI
SHUHAIMI

"Kini, menjelang TMM 2026, industri kreatif berada pada kedudukan strategik untuk memainkan peranan penting dalam memperkukuh imej pelancongan negara.

"Namun untuk memanfaatkan sepenuhnya potensi ini, kita perlukan pendekatan lebih terbuka, inklusif dan menyeluruh," katanya.

TMM 2026 bukan semata‑mata kempen pelancongan, tetapi sebahagian daripada strategi fiskal negara yang lebih besar merangsang pertumbuhan ekonomi yang inklusif dan mampan.

Dengan menjadikan pelancongan sebagai instrumen ekonomi rakyat, TMM 2026 membuka seluas‑luasnya ruang bagi pelbagai sektor termasuk industri kreatif, komuniti setempat dan PKS untuk turut menikmati manfaat ekonomi secara menyeluruh.

 

 

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!