Peranan Malaysia dalam ASEAN diiktiraf IMF, dorong pertumbuhan ekonomi serantau - Amir Hamzah

KUALA LUMPUR - Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) melihat Malaysia telah memainkan peranan yang baik dalam mengeratkan hubungan antara negara-negara ASEAN dengan integrasi yang kukuh sebagai satu blok yang berupaya menyumbang kepada perkembangan ekonomi serantau yang lebih baik.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata IMF juga melihat ASEAN sebuah rantau yang mempunyai banyak potensi serta berkembang dengan baik.
"Daripada maklum balas yang kita dapat daripada IMF, ASEAN adalah satu rantau yang ada banyak potensi dan telah berkembang dengan baik,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Beliau berkata demikian selepas selesai mesyuarat dua hala antara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Pengarah Urusan IMF, Kristalina Georgieva, yang turut dihadiri beliau di sini.
Menurut Amir Hamzah, IMF melihat Malaysia telah berjaya memainkan peranan yang baik dalam mengeratkan hubungan yang ada dalam kalangan negara-negara ASEAN.
"Kalau hubungan itu lebih baik, lebih integrasi, insya-Allah ekonomi kita akan berkembang dengan baik,” katanya.
Mesyuarat dua hala Perdana Menteri dengan Georgieva berlangsung selama kira-kira 25 minit.
Selain Amir Hamzah, Gabenor Bank Negara Malaysia, Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour turut hadir dalam pertemuan itu.
Amir Hamzah berkata, IMF melihat Malaysia berjaya memainkan peranan penting pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dengan kehadiran ramai pemimpin dunia yang berpengaruh.
"Saya rasa sidang kemuncak yang kita adakan ini telah betul-betul melonjakkan ASEAN dan juga Malaysia di persada dunia. Mereka (pemimpin dunia) rasa mesyuarat ni penting kerana mereka dapat berbincang dengan negara-negara ASEAN dan berbincang dengan negara-negara lain yang datang," katanya.
Turut senada, Abdul Rasheed juga berkata, Sidang Kemuncak ASEAN menjadi lokasi pertemuan penting pemimpin dunia yang memperkukuh imej Malaysia.
Mesyuarat dua hala hari ini diadakan bersempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan yang dianjurkan oleh Malaysia dari 26 hingga 28 Oktober di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. - Bernama
Ringkasan AI
- IMF melihat Malaysia memainkan peranan penting dalam integrasi negara-negara ASEAN
- ASEAN dianggap sebagai rantau yang mempunyai banyak potensi dan berkembangkan dengan baik
- Menurut IMF, hubungan yang kukuh antara negara-negara ASEAN menyumbang kepada perkembangan ekonomi serantau
- Mesyuarat dua hala antara Perdana Menteri Malaysia dan Pengarah Urusan IMF berlangsung selama kira-kira 25 minit
- Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang dianjurkan Malaysia meningkatkan imej ASEAN dan Malaysia di persada dunia
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
