460 lokasi hotspot banjir dikenal pasti di seluruh Terengganu


KUALA TERENGGANU - Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Terengganu mengenal pasti sebanyak 460 lokasi hotspot banjir di seluruh negeri sebagai langkah awal persediaan menghadapi musim tengkujuh yang dijangka berlaku tidak lama lagi.
Pengarahnya, Ir Osman Abdullah berkata, daripada jumlah tersebut, beberapa kawasan dikenal pasti sebagai 'extra hotspot' yang memerlukan pemantauan lebih rapi berikutan kedudukannya berhampiran tebing sungai utama dan kawasan berisiko tinggi.
Menurutnya, selain kawasan pedalaman, beberapa penempatan di sekitar Kuala Terengganu turut mencatat jumlah hotspot paling tinggi disebabkan faktor kepadatan penduduk dan kedudukan berhampiran sistem saliran utama.
"Walaupun jumlah keseluruhan 460 hotspot, kita beri tumpuan lebih kepada kawasan berhampiran sungai-sungai utama yang sering terjejas ketika banjir.
"Kawasan berisiko itu termasuk lokasi yang kerap dilanda banjir kilat,” katanya ketika ditemui selepas Taklimat Communications Education and Public Awareness (CEPA) Program Ramalan dan Amaran Banjir Fasa 2 di sini pada Ahad.
Osman berkata, setakat ini sebanyak 11 siren amaran awal banjir dan 10 kamera liter lertutup (CCTV) telah dipasang di beberapa lokasi strategik di negeri ini termasuk di Kampung La, Besut dan Kemaman, bagi memberi amaran kepada penduduk ketika paras air meningkat.
Jelasnya, sistem siren berfungsi dengan dua peringkat amaran iaitu peringkat amaran awal dan peringkat bahaya apabila air mula melimpahi tebing sungai.
"Kita juga telah mengadakan sesi libat urus bersama penduduk bagi memastikan mereka peka terhadap fungsi siren.
"Penduduk di kawasan tersebut turut membantu memantau keberkesanan sistem dan melaporkan sebarang kerosakan," ujarnya.
Tambah beliau, antara kebimbangan utama JPS ialah kejadian banjir luar jangka yang berlaku apabila hujan turun dengan sangat lebat dalam tempoh singkat.
"Hulu Terengganu misalnya pernah menerima taburan hujan 700 milimeter dalam masa sehari, bersamaan dengan purata hujan selama tiga bulan di sesetengah kawasan lain.
"Jika tanah sudah tepu akibat hujan berterusan seminggu sebelumnya, hujan lebat walaupun sekejap boleh menyebabkan banjir besar," ujar beliau.
Dalam masa sama, Osman berkata, JPS juga sedang melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan dan pembaikan sistem saliran utama dengan peruntukan RM12.5 juta, melibatkan RM10 juta daripada kerajaan Persekutuan dan RM2.5 juta daripada kerajaan negeri.
Jelas beliau, selain JPS, pihak berkuasa tempatan (PBT) turut memainkan peranan penting dalam penyelenggaraan sistem perparitan dalaman bagi memastikan aliran air tidak tersekat semasa musim hujan.
"Kita sedang melaksanakan kerja-kerja pembersihan, pengorekan kelodak serta pembaikan tebing di lebih 1,200 kilometer (km) saluran utama di seluruh negeri.
"Namun, kerja ini dilakukan secara berperingkat bergantung kepada keutamaan dan peruntukan sedia ada," katanya.
Ringkasan AI
- JPS Terengganu mengenal pasti 460 lokasi hotspot banjir menyediakan diri untuk musim tengkujuh
- Beberapa kawasan dikenal pasti sebagai 'extra hotspot' yang berisiko tinggi dan memerlukan pemantauan rapi
- Selain pedalaman, kawasan sekitar Kuala Terengganu juga mencatat jumlah hotspot tinggi
- Sebanyak 11 siren amaran awal banjir dan 10 CCTV telah dipasang di lokasi strategik untuk memberi amaran kepada penduduk
- JPS melaksanakan kerja penyelenggaraan dan pembaikan sistem saliran utama dengan peruntukan RM12.5 juta
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
