Tanah runtuh: Jalan Tun Sardon ditutup dua hari

BALIK PULAU – Jalan Negeri P14 iaitu Jalan Tun Sardon di daerah Barat Daya di sini akan ditutup sepenuhnya selama dua hari bermula jam 6 petang Khamis hingga 6 petang, Sabtu ini.
Menurut Jabatan Kerja Raya (JKR) Pulau Pinang, penutupan itu dibuat susulan kejadian tanah runtuh yang berlaku pada Khamis dan menjejaskan keseluruhan laluan berkenaan.
“Penutupan ini bagi memberi laluan kepada kerja-kerja pembersihan jalan dan baik pulih yang dilaksanakan kontraktor dilantik oleh JKR Daerah Barat Daya,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Sehubungan itu, JKR Pulau Pinang menasihatkan pengguna jalan raya supaya menggunakan laluan alternatif dan merancang perjalanan dengan sebaiknya sepanjang tempoh penutupan jalan tersebut.
"Orang ramai juga diminta memberi kerjasama kepada pihak berkuasa bagi memastikan kelancaran kerja pembersihan dan keselamatan di kawasan berkenaan.
"Maklumat lanjut boleh diperoleh melalui laman rasmi aduan JKR di aduan.jkr.gov.my atau media sosial rasmi kami," ujarnya.
Terdahulu, sebahagian laluan di Jalan Tun Sardon ditutup sementara selepas berlaku kejadian tanah runtuh berhampiran kawasan Anjung Indah petang Khamis.
Bagaimanapun, tiada mangsa atau kenderaan dilaporkan terlibat dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu.
Kejadian itu turut menyebabkan tanah dan pokok dari kawasan bukit runtuh menutupi sebahagian jalan.
Runtuhan tanah dari kawasan bukit telah menutupi sebahagian jalan dengan anggaran keluasan 30 x 20 kaki persegi.
Ringkasan AI
- Jalan Negeri P14 iaitu Jalan Tun Sardon di daerah Barat Daya akan ditutup sepenuhnya selama dua hari
- Penutupan jalan dibuat susulan kejadian tanah runtuh
- Penutupan jalan bagi memberi laluan kepada kerja-kerja pembersihan dan baik pulih
- JKR Pulau Pinang menasihatkan pengguna jalan raya menggunakan laluan alternatif
- Tiada mangsa atau kenderaan dilaporkan terlibat dalam kejadian tanah runtuh
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

