3,645 petani, nelayan Perlis terima bantuan RM500

Abu Bakar pada sidang akhbar membentangkan Belanjawan Negeri Perlis 2027 yang bertemakan 'Perlis Progresif: Memacu Pertumbuhan, Menjana Kemakmuran' pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis.
Abu Bakar pada sidang akhbar membentangkan Belanjawan Negeri Perlis 2027 yang bertemakan 'Perlis Progresif: Memacu Pertumbuhan, Menjana Kemakmuran' pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis.
A
A
A

KANGAR - Seramai 3,645 petani dan nelayan di Perlis yang terjejas akibat banjir serta keadaan cuaca tidak menentu akan menerima bantuan wang ihsan sebanyak RM500 seorang secara sekali bayar.

Menteri Besar Perlis, Abu Bakar Hamzah berkata, bantuan itu membabitkan 1,205 petani yang terkesan akibat banjir yang melanda baru-baru ini serta 2,440 nelayan yang berdepan kesukaran susulan keadaan cuaca tidak menentu.

Menurutnya, kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM1.82 juta bagi menyalurkan bantuan berkenaan yang dijadualkan dibayar pada tahun 2026.

"Belanjawan negeri Perlis 2027 memberi perhatian terhadap nasib petani dan nelayan. Sesungguhnya, merekalah golongan yang menjadi tulang belakang kepada jaminan bekalan makanan negara.

"Bagi meringankan bebanan terhadap golongan petani yang terkesan akibat banjir yang melanda baru-baru ini dan golongan nelayan yang terkesan akibat cuaca yang tidak menentu, maka bantuan wang ihsan sebanyak RM500 akan diberikan kepada setiap seorang secara sekali bayar," katanya pada Jumaat.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Negeri Perlis 2027 yang bertemakan 'Perlis Progresif: Memacu Pertumbuhan, Menjana Kemakmuran' pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis.

Abu Bakar berkata, kerajaan negeri turut menyediakan peruntukan RM300,000 menerusi Insentif Petani yang Terkesan Perubahan Iklim bagi membantu 1,600 pesawah padi luar jelapang.

Katanya, insentif itu bertujuan meringankan risiko kerugian yang dihadapi pesawah berikutan ketidaktentuan cuaca dan fenomena El Nino, selain memelihara kelangsungan pengeluaran makanan negeri.

Menurutnya, kerajaan negeri menyedari pengorbanan golongan petani dan nelayan yang menjadi antara penyumbang penting kepada kehidupan masyarakat serta jaminan bekalan makanan.

Artikel Berkaitan:

Justeru, katanya, perhatian terhadap kebajikan golongan berkenaan akan terus menjadi antara keutamaan kerajaan negeri dalam memastikan kemakmuran ekonomi dapat dinikmati secara menyeluruh, termasuk masyarakat di peringkat akar umbi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!