Tanah runtuh di Balik Pulau, tiada mangsa terlibat

BALIK PULAU – Sebahagian laluan di Jalan Tun Sardon di sini ditutup sementara selepas berlaku kejadian tanah runtuh berhampiran kawasan Anjung Indah pada petang Khamis.
Bagaimanapun, tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 5 petang itu.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, kejadian itu turut menyebabkan tanah dan pokok dari kawasan bukit runtuh menutupi sebahagian jalan.
Menurut beliau, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 4.56 petang sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seri Balik Pulau bergegas ke lokasi.

“Sebaik tiba pada jam 5.10 petang, didapati berlaku runtuhan tanah dari kawasan bukit yang menutupi sebahagian jalan dengan anggaran keluasan 30 x 20 kaki persegi.
“Tiada kenderaan atau mangsa terlibat dalam kejadian tersebut,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, operasi turut dibantu anggota dari BBP Paya Terubong dengan kekuatan keseluruhan 14 anggota serta empat jentera termasuk LFRT dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dari kedua-dua balai berkenaan.
“Pasukan bomba bertindak melakukan kerja-kerja pembersihan dan pengalihan pokok tumbang di kawasan terbabit dengan menggunakan peralatan khas.
“Keadaan di lokasi terkawal dan kerja-kerja pembersihan selesai pada jam 5.50 petang,” katanya.

Beliau berkata, lokasi kejadian kemudiannya diserahkan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan susulan serta pemantauan lanjut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

