Cemas seketika, tanah runtuh hampir timpa kenderaan di Paya Terubong

GEORGE TOWN - Satu kejadian tanah runtuh berskala sederhana dilaporkan berlaku berhampiran sebuah pasar raya di kawasan Paya Terubong, Ayer Itam, di sini pada petang Jumaat.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 2.41 petang sebelum sepasukan anggota bergegas ke lokasi kejadian.
Menurutnya, sebaik tiba di lokasi kejadian, pasukan bomba mendapati terdapat runtuhan tanah berhampiran kawasan tempat letak kenderaan yang melibatkan 12 buah kenderaan.
"Hasil pemeriksaan mendapati kejadian tidak melibatkan mangsa atau sebarang kerosakan kepada struktur bangunan berhampiran.
"Enam buah kereta telah berjaya dialihkan oleh pemilik masing-masing manakala enam lagi belum dikenal pasti pemiliknya," katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.
John Sagun berkata, anggota Pasukan Keluaran Operasi (PKO) bertindak memberi nasihat kepada orang awam dan membantu pemilik kenderaan mengalihkan kereta ke kawasan yang lebih selamat.
Selain itu, katanya, kawasan kejadian turut dipasang sawar keselamatan bagi mengelakkan sebarang insiden susulan.
"Setakat ini, operasi pemantauan dan kawalan keselamatan di lokasi masih diteruskan oleh pihak bomba bagi memastikan keadaan benar-benar selamat," jelasnya.
Ringkasan AI
- Kejadian tanah runtuh berlaku berhampiran pasar raya di Paya Terubong, Ayer Itam
- JBPM Pulau Pinang bergegas ke lokasi setelah terima panggilan kecemasan
- Runtuhan tanah melibatkan 12 buah kenderaan tanpa mangsa atau kerosakan bangunan
- Enam buah kereta telah berjaya dialihkan oleh pemilik
- Operasi pemantauan dan kawalan keselamatan masih diteruskan oleh JBPM
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

