Pengamal media Perlis terima bantuan khas RM300

KANGAR - Seramai 40 pengamal media di di negeri ini bakal menerima bantuan khas sebanyak RM300 seorang menerusi peruntukan RM12,000 yang disediakan kerajaan negeri dalam Belanjawan Perlis 2027.
Menteri Besar Perlis, Abu Bakar Hamzah berkata, bantuan itu disalurkan sebagai tanda penghargaan terhadap sumbangan pengamal media dalam menyampaikan maklumat serta perkembangan pembangunan negeri kepada masyarakat.
Menurutnya, kerajaan negeri menghargai komitmen dan peranan pengamal media yang sentiasa melaksanakan tanggungjawab membuat liputan serta mengetengahkan pelbagai isu dan perkembangan semasa menerusi saluran media masing-masing.
"Sumbangan berkenaan mencerminkan pengiktirafan kerajaan negeri terhadap dedikasi warga media yang menjalankan tugas tanpa mengenal penat lelah dalam memastikan masyarakat mendapat maklumat tepat dan terkini.
"Kerajaan Negeri Perlis amat menghargai peranan persatuan pemberita yang sentiasa komited dalam menyampaikan maklumat, membuat liputan serta mengetengahkan perkembangan dan pembangunan negeri kepada masyarakat dalam setiap medium yang ada," katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Negeri Perlis 2027 bertemakan Perlis Progresif: Memacu Pertumbuhan, Menjana Kemakmuran pada Jumaat.
Jelas Abu Bakar, bantuan khas berkenaan sebagai sebahagian usaha kerajaan negeri menghargai peranan pengamal media sebagai penghubung antara pentadbiran kerajaan dengan masyarakat.
Menurutnya, inisiatif itu turut memperlihatkan pengiktirafan terhadap kepentingan media dalam menyampaikan maklumat, meningkatkan kesedaran awam serta memastikan perkembangan pembangunan negeri dapat diketahui rakyat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

