Sekolah pondok 'Abuya' diarah tutup sementara

Pihak berkuasa Jaheaik menyerahkan notis penutupan sementara kepada wakil pondok.
Pihak berkuasa Jaheaik menyerahkan notis penutupan sementara kepada wakil pondok.
A
A
A

TUMPAT – Sekolah pondok, Madrasah Ahbabul Mustafa Al Islamiah di sini yang dikaitkan dengan seorang mudir dikenali sebagai ‘Abuya’, diarah tutup sementara kerana didapati beroperasi tanpa pendaftaran sah di bawah Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK).

Timbalan Yang Dipertua MAIK, Datuk Mohd Anis Hussein berkata, tindakan penutupan sementara itu dilaksanakan mengikut peruntukan undang-undang selepas pemeriksaan mendapati madrasah berkenaan tidak pernah menghantar permohonan pendaftaran kepada MAIK.

“Notis tutup sementara berkuat kuasa hari ini sehingga proses pendaftaran dilaksanakan dalam tempoh enam bulan.

“Tindakan diambil mengikut Seksyen 133 serta 135 Kaedah 37 Kaedah-Kaedah Pendaftaran dan Pengawalan Sekolah dan Institusi Pengajian Agama 1987,” katanya kepada pemberita pada Khamis.

Sebelum itu, media turut menyertai operasi pemeriksaan dan penyerahan notis penutupan yang dijalankan bersama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (Jaheaik) dengan penglibatan 20 anggota, lima Polis Diraja Malaysia serta tiga wakil Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Jaheaik mengeluarkan notis penutupan sementara ke atas pondok Abuya.
Jaheaik mengeluarkan notis penutupan sementara ke atas pondok Abuya.

Menurut Mohd Anis, selain penutupan, notis kesalahan mengajar tanpa tauliah dan mengelola guru agama tanpa kebenaran turut dikeluarkan terhadap mudir terbabit di bawah Seksyen 117 serta Seksyen 118 Enakmen MAIK Bilangan 4 Tahun 1994.

“Notis itu memerlukan Abuya untuk hadir ke Jaheaik dalam tempoh dua minggu bagi memberi keterangan lanjut.

Artikel Berkaitan:

“Langkah ini bertujuan memastikan semua institusi pendidikan agama di negeri ini mematuhi peraturan dan mendapat tauliah sah sebelum dibenarkan beroperasi semula,” ujarnya.

Sementara itu, hasil tinjauan pemberita semasa operasi mendapati kawasan madrasah terbabit sudah dikosongkan, termasuk kontena dua tingkat yang sebelum ini dijadikan asrama bagi lebih 30 pelajar lelaki.

Kumpulan penguat kuasa yang tiba di pondok di Tumpat.
Kumpulan penguat kuasa yang tiba di pondok di Tumpat.

Pintu besi asrama setinggi lebih tiga meter juga dilihat berkunci rapi.

Akhbar sebelum ini melaporkan, mudir pondok, Mohamad Aswadi Yah, 46, yang dikenali sebagai Abuya itu didakwa di mahkamah atas 18 pertuduhan amang seksual fizikal terhadap empat pelajar lelaki dan satu pendakwaan memiliki gambar lucah di dalam telefon miliknya.

Daripada keseluruhan pertuduhan itu, dia didakwa di Mahkamah Sesyen Pasir Mas pada 11 September lalu atas tujuh pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap pelajar lelaki dan memiliki gambar lucah pada Jun 2024 hingga 20 Ogos lalu.

Mudir itu kemudian dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, Terengganu pada 18 September lalu atas dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang pelajar tahfiz lelaki berusia 14 tahun.

Mohamad Aswadi sekali lagi dituduh di Mahkamah Sesyen Pasir Mas pada 24 September lalu atas enam lagi pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap pelajar lelaki berusia 14 tahun sejak Mac hingga Jun lalu.

Terbaru pada 17 Oktober lalu, lelaki itu sekali lagi dituduh atas tiga pertuduhan kesalahan seksual termasuk persetubuhan bertentangan dengan aturan tabii tanpa kerelaan terhadap pelajar lelaki berusia 15 tahun di sebuah premis di Perak, 28 Ogos 2024.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!