Dapur kotor ada najis tikus, empat kedai makan diarah tutup

GEORGE TOWN – Empat daripada lima premis perniagaan makanan di sekitar daerah Timur Laut diarah tutup selama 14 hari selepas pemeriksaan mengejut mendapati tahap kebersihan di premis terbabit berada di bawah piawaian ditetapkan, termasuk penemuan najis tikus di kawasan dapur.
Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dalam kenyataannya berkata, arahan penutupan itu dikeluarkan oleh Jabatan Pelesenan dalam satu Operasi Kebersihan yang dijalankan pada 22 Julai lalu.
"Empat premis terbabit iaitu tiga restoran dan sebuah kedai runcit telah diarahkan tutup bermula 22 Julai hingga 4 Ogos 2025 mengikut Undang-Undang Kecil 38(1), Undang-Undang Kecil (Establisymen Makanan) MPPP 1991.
“Antara kesalahan yang dikesan termasuk kehadiran najis tikus di kawasan penyediaan makanan dan rak penjualan bahan makanan selain kebersihan keseluruhan premis berada di tahap tidak memuaskan,” katanya pada Khamis.
Dalam operasi sama, satu lagi premis turut dikenakan kompaun di bawah Seksyen 47(1), Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133) kerana gagal menyenggara perangkap minyak yang menyebabkan sisa makanan mengalir terus ke parit awam.
"Pemeriksaan turut meliputi semakan lesen perniagaan, status suntikan vaksin antitifoid pengendali makanan serta pemeriksaan terhadap stor, rak penyimpanan dan dapur premis.
"Selain pemeriksaan, pegawai MBPP turut menasihati pengusaha restoran yang terlibat supaya mengutamakan aspek kebersihan bagi memastikan keselamatan makanan yang disediakan kepada pelanggan sentiasa terjamin dan mematuhi piawaian yang ditetapkan," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

