Setahun Presiden Prabowo

PADA 20 Oktober 2025 genaplah setahun Prabowo Subianto menjadi Presiden Indonesia. Tidak mudah memimpin negara kepulauan yang mempunyai penduduk 280 juta orang. Indonesia merupakan negara demokrasi ketiga terbesar di dunia, paling banyak penduduk Muslim dan ekonomi terbesar di Asia Tenggara.
Indonesia beruntung bukan sahaja kerana bilangan penduduknya tetapi punya sumber alam yang luar biasa. Banyak ahli ekonomi percaya Indonesia sekiranya ditadbir dengan baik, dikurangkan rasuah dan didukung oleh pertumbuhan ekonomi yang mampan, akan menjadi kuasa ekonomi yang hebat.
Prabowo mengimpikan semua itu. Beliau memahami apa yang diistilahkannya sebagai ‘paradoks Indonesia’ – negara yang masih ketara kemiskinan tegar dalam kalangan puluhan juta rakyatnya. Hari ini pun ekonomi Indonesia, meminjam istilah popular di sana, ‘tidak baik-baik sahaja’.
Banyak rakyat tidak menikmati kemakmuran ekonomi, oligarki masih mendominasi, peluang pekerjaan terbatas, banyak yang hilang kerja dan pelaburan tidak masuk serancak banyak negara-negara jiran.
Lebih penting lagi dalam beberapa survey mengenai keadaan ekonomi negara, khususnya yang dibuat dalam kalangan ahli dan pakar ekonomi, secara umum banyak yang berpendapat keadaan ekonomi Indonesia jauh lebih buruk dari setahun yang lalu.
Memang banyak survey yang menunjukkan approval rating yang tinggi bagi Prabowo. Tetapi survey sedemikian selalu mengelirukan dan dibuat oleh badan yang jelas tidak objektif.
Prabowo mewarisi takhta pemerintahan daripada Joko Widodo (Jokowi), orang yang pernah dikagumi tetapi kini mendapat kritikan daripada pelbagai pihak.
Jokowi dikatakan merosakkan semangat reformasi, mengacaukan demokrasi, terbabit dalam pembaziran kerana projek meganya serta cuba membina dinasti politik keluarga.
Prabowo pula cuba memperlihatkan kegetasannya dalam memerangi rasuah dan menangani soal ketirisan dan pembaziran. Beliau telah menunjukkan taringnya yang sebenar dalam beberapa hal.
Tetapi dalam konteks sistem berpolitik Indonesia yang lebih banyak kompromi daripada bertegas, Prabowo juga harus bertindak pragmatik.
Bayang-bayang Jokowi yang amat popular itu masih menghantuinya. Kabinetnya masih penuh orang Jokowi. Institusi penting seperti polis (Polri), kejaksaan (Peguam Negara) hingga institusi memerangi rasuah (Komisi Pemberantasan Korupsi atau KPK), ‘geng Solo’ dikatakan masih menguasai.
Hari ini para ‘termul’ (istilah penghinaan buat mereka yang menjadi penyokong kuat Jokowi, dari perkataan ‘ternak Mulyono’) masih berpengaruh. Gerakan pro-Jokowi (proJo) masih menguasai dunia siber dengan para buzzer dan pempengaruh. Masih ada lagi gerakan Jokowi Mania (JoMan) dan Solidaritas Merah Putih (Solmet) yang mempertahankan Jokowi.
Jokowi masih berlagak beliau ‘matahari kembar’, presiden di belakang presiden. Anehnya sebahagian para ‘termul’ ini dilantik dalam badan-badan yang dibayar gajinya oleh kerajaan Indonesia tetapi sepenuh masa masih menjadi jurubicara Jokowi.
Salah seorang penyokong kuat Jokowi, Silfester Matutina yang jelas didapati bersalah memfitnah mantan Timbalan Presiden Jusuf Kala masih bebas dan berkeliaran walaupun hukuman penjara ke atasnya disahkan enam tahun lalu.
Pihak Peguam Negara hilang alasan untuk tidak menangkap dan menyumbatnya di penjara. Di Indonesia adakalanya para ‘termul’ lebih kebal daripada anggota Dewan Perwakilan Rakar (DPR) sendiri.
Kemuncak masalah bagi Prabowo adalah apabila beliau berdepan dengan demonstrasi luar biasa besarnya pada Ogos lalu, terbesar selepas reformasi.
Para mahasiswa, anggota masyarakat sivil dan rakyat jelas menuntut Indonesia yang lebih adil dan saksama, mereka menolak rasuah dan keborosan serta membenci gaya hidup hidonis sesetengah pemimpin.
Tuntutan 17 campur 8 berkumandang sebagai hasil demonstrasi yang turut memberikan inspirasi pada anak-anak muda di Nepal (Gen-Z) dan di tempat-tempat lain.
Pertama dalam senarai tuntutan itu adalah Rang Undang-undang Perampasan Aset yang bertujuan memiskinkan mereka yang terbukti bersalah dalam kes rasuah.
Apakah DPR yang selama ini cuba mengelak daripada membahaskan RUU itu akan bertindak berani kali ini. Sayogia diingat salah satu punca demonstrasi besar Ogos lalu adalah kerana sikap beberapa orang anggota DPR sediri yang dianggap tidak sensitif dan menghina rakyat.
Prabowo sedar Tuntutan 17 campur 8 itu tidak mudah untuk ditunaikan tetapi beliau telah mula mengambil tindakan positif. Dengan menukarkan Menteri Kewangan, Sri Mulyani Indrawati kepada Purbawa Yudhi Sadewa, Prabowo menghantar mesej jelas beliau mahukan perubahan dasar dan rejim fiskal. Cara dan kaedah lama tidak sesuai lagi. Purbawa yang kontroversil itu nampaknya telah membuat kenyataan dan tindakan yang disenangi rakyat.
Legasi kewangan yang ditinggalkan oleh Jokowi memeningkan Prabowo dan Purbawa. Hutang negara pada kadar paling tinggi dalam sejarah. Projek kereta api cepat Jakarta-Bandung (yang dikenal sebagai Whoosh) akan membebankan negara. Projek ibu negara Nusantara (IKN) akan memakan biaya yang besar. Prabowo lebih komited untuk memastikan janji politiknya memberikan makanan berzat dan percuma kepada anak-anak sekolah dan ibu hamil.
Banyak pihak mengkritik cara pelaksanaan program itu sepatutnya bersasar. Kos membiayainya menyebabkan pemotongan belanja pembangunan dan mengurus negara.
Purbawa sendiri sudah turun padang memastikan cukai dipungut dan ketirisan ditangani.
Masih banyak yang dituntut oleh rakyat. Rata-rata mereka mahukan Prabowo melepaskan diri daripada belenggu terima kasih pada Jokowi yang memenangkan beliau dalam pilihan raya presiden (Pilpres) 2024.
Rakyat mahu kabinet yang bersih daripada orang-orang Jokowi. Mereka mahukan reformasi kepolisian, kejaksaan dan KPK. Mereka sudah menetapkan deadline bagi Tuntutan 17 campur 8.
Mereka mahukan Prabowo menjadi Macan Asia (Harimau) yang menyuarakan aspirasi rakyat Indonesia di persada dunia. Pada waktu yang sama mereka mahu Prabowo melepaskan Indonesia dari paradoks ketidakadilan dan ketidaksamarataan dalam kalangan rakyat.
* Tan Sri Johan Jaaffar ialah Tokoh Wartawan Negara. Beliau banyak menulis tentang politik, budaya dan sastera Indonesia
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

