Prabowo saksikan pemulangan wang rampasan rasuah RM3.38 bilion

Prabowo (tengah) semasa menghadiri majlis penyerahan dana pampasan itu. Foto Agensi
Prabowo (tengah) semasa menghadiri majlis penyerahan dana pampasan itu. Foto Agensi
A
A
A

JAKARTA - Presiden Prabowo Subianto menyaksikan penyerahan dana pampasan negara sebanyak 13.25 trilion rupiah (RM3.38 bilion) hasil daripada kes rasuah kemudahan eksport minyak sawit mentah (CPO) dan produk sekundernya.

Penyerahan tersebut dilakukan oleh Peguam Negara ST Burhanuddin kepada Menteri Kewangan Purbaya Yudhi Sadewa, disaksikan oleh barisan kanan kerajaan termasuk Panglima TNI Jeneral Agus Subiyanto, Menteri Pertahanan Sjafrie Sjamsoeddin, Setiausaha Negara Prasetyo Hadi serta pemimpin lain dalam Kabinet Merah Putih dalam satu majlis simbolik di Ibu Pejabat Kejaksaan Agung Republik Indonesia (Pejabat Peguam Negara) pada Isnin.

Prabowo menyifatkan penyerahan dana tersebut sebagai 'tanda keazaman tinggi' beliau dalam memperkukuh tadbir urus negara dan menegakkan tindakan tegas terhadap amalan rasuah, khususnya dalam sektor kritikal yang mempunyai impak langsung kepada kesejahteraan rakyat.

Peguam Negara, Burhanuddin pula menegaskan bahawa tindakan ini memberi isyarat jelas bahawa kerajaan akan memfokus terhadap kes yang bukan sahaja melibatkan kerugian besar kepada negara namun juga secara langsung menjejaskan kehidupan rakyat antaranya dalam industri garam, gula dan keluli.

Dana ini adalah sebahagian daripada kerugian negara sebanyak 17 trilion rupiah (RM 4.34 bilion) dalam kes yang melibatkan beberapa syarikat sawit terkemuka, termasuk Wilmar Group, Musim Mas Group dan Permata Hijau Group dengan 13.25 trilion rupiah dibayar dalam tunai dan baki 4 trilion rupiah (RM1.02 bilion) ditangguh sebagai cagaran.

Majlis penyerahan ini memberi satu imej kemenangan politik dan ekonomi bagi kerajaan Prabowo menonjolkan bahawa tadbir urus negara bukan hanya janji tetapi turut diterjemahkan secara konkrit melalui pemulihan aset negara dan tindakan ke atas pelaku rasuah. - Agensi

Artikel Berkaitan:

Ringkasan AI

  • Presiden Prabowo Subianto menyaksikan penyerahan dana pampasan negara sebanyak 13.25 trilion rupiah hasil dari kes rasuah eksport minyak sawit
  • Penyerahan dana dilakukan oleh Peguam Negara kepada Menteri Kewangan, disaksikan oleh barisan kanan kerajaan
  • Prabowo menyifatkan penyerahan dana sebagai tanda keazaman tinggi dalam memperkukuh tadbir urus negara dan menegakkan tindakan tegas terhadap rasuah
  • Peguam Negara menegaskan kerajaan akan fokus terhadap kes yang melibatkan kerugian besar kepada negara dan menjejaskan kehidupan rakyat
  • Kerugian negara dalam kes rasuah ini adalah sebanyak 17 trilion rupiah, dengan 13.25 trilion dibayar dalam tunai dan baki 4 trilion sebagai cagaran

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!