[VIDEO] Isu Thailand dan Indonesia: Keyakinan pelabur terhadap ASEAN kekal - Anwar
PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan bahawa keyakinan pelabur terhadap rantau ini kekal utuh meskipun berlaku perubahan kepimpinan di Thailand dan perkembangan politik di Indonesia.
Beliau berkata, keadaan di Thailand kini semakin stabil selepas pelantikan Perdana Menteri baharu negara itu, Dr Anutin Charnvirakul.

“Kita mendoakan yang terbaik. Kestabilan adalah paling penting,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Persidangan Antarabangsa Sains Sosial dan Kemanusiaan Ke-9 di sini pada Rabu.
Menurut Anwar, beliau juga sempat berbual melalui panggilan telefon bersama Presiden Indonesia, Prabowo Subianto pada Selasa dan mendapati keadaan di republik itu hampir kembali normal.
“Saya rasa ia agak stabil dan setakat ini kita tidak melihat sebarang reaksi negatif daripada pelabur.
“Kita berharap keyakinan itu akan terus dikekalkan kerana ASEAN secara relatifnya merupakan rantau paling aman,” jelasnya.
Mengulas mengenai bekas Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra yang diarah menjalani hukuman penjara serta-merta selama setahun terutama sebagai penasihat tidak rasmi ASEAN, Anwar berkata, beliau akan berbincang dengan Perdana Menteri baharu Thailand, Anutin mengenai perkara itu.
“Saya telah berbincang dengan Dr Anutin dan beliau bersetuju untuk mengadakan perbincangan semasa lawatannya ke Malaysia dalam tempoh terdekat.
“Tiada keperluan membuat keputusan segera sehingga pertemuan itu berlangsung.
"Peranan Thaksin tetap terbatas kerana beliau tidak bebas memberikan pandangan atau kerjasama secara menyeluruh,” katanya.
Terdahulu, Mahkamah Agung Thailand mengarahkan Thaksin dipenjara serta-merta untuk menjalani hukuman setahun selepas mendapati hukuman penjara yang dijatuhkan pada 2023 tidak dilaksanakan dengan betul dan kini tertuduh perlu menjalani baki hukuman penjara yang dielakkannya ketika dalam tahanan hospital.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

