Dari lumpur ke garis penamat, atlet buktikan erti juang

LEBIH 2,000 peserta dari 30 negara membuktikan ketahanan fizikal dan mental luar biasa apabila menempuh lumpur, api serta pelbagai halangan ekstrem dalam saingan Spartan Malaysia 2025 di Gamuda Cove.
Perlumbaan berprestij itu turut menarik penyertaan atlet dari Iceland, Austria, Sweden, Argentina serta Malaysia selaku tuan rumah, menjadikan penganjuran edisi kali ini antara yang terbesar di rantau Asia Tenggara.
Lebih istimewa, acara tahun ini mencatat sejarah tersendiri apabila buat pertama kalinya dikendalikan bersama oleh RUNRIO Thailand dan SCORE Sports Management, pemegang lesen rasmi Spartan Race bagi Thailand, Malaysia dan Singapura untuk tempoh 2025 hingga 2027.
Sorotan paling mencuri perhatian sudah tentu kehadiran Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil, yang terus menjadi lambang inspirasi rakyat apabila berjaya menamatkan perlumbaan pada usia 55 tahun meneruskan tradisi penyertaannya sejak tahun 2017.
Baginda yang dikenali sebagai seorang pencinta kecergasan menunjukkan disiplin dan ketabahan tinggi, sekali gus menyuntik semangat kepada rakyat Malaysia agar menjadikan kecergasan sebagai gaya hidup, bukan sekadar cabaran musiman.
Ketua Pegawai Eksekutif SCORE Sports Management, Patricia Tan berkata, kejayaan penganjuran Spartan Malaysia membuktikan minat rakyat terhadap sukan lasak semakin berkembang pesat.
“Kita menerima sambutan luar biasa, termasuk penyertaan hampir 500 kanak-kanak dalam Spartan Kids Race. Dengan kehadiran lebih 7,500 pengunjung sepanjang hujung minggu, Spartan kini bukan sekadar perlumbaan tetapi acara keluarga yang memupuk budaya kecergasan dan pelancongan sukan,” katanya.
Acara kali ini menawarkan tiga kategori utama Sprint (5km), Kids Race (1–3km) dan Hurricane Heat 4HR, selain lebih 400 atlet berjaya menamatkan Trifecta Medal Challenge.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif RUNRIO Thailand, Boonperm Intanapasat menegaskan, kerjasama tiga tahun antara kedua-dua organisasi akan memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab utama Spartan di Asia Tenggara.
“Matlamat kami ialah menjadikan Spartan Malaysia sebagai acara bertaraf dunia yang menyumbang kepada pelancongan sukan dan ekonomi serantau,” katanya.
Perlumbaan itu turut menyaksikan wira tempatan, Saddam Pittli, muncul juara bagi dua kategori elit 21 kilometer (30 halangan) dan 10 kilometer (25 halangan), manakala wakil Vietnam, Kim Luu Linh melakar sejarah serupa dalam kategori wanita elit.
Ringkasan AI
- Lebih 2,000 peserta dari 30 negara mengambil bahagian dalam Spartan Malaysia 2025 di Gamuda Cove Perlumbaan ini menarik penyertaan atlet antarabangsa dan menjadi antara penganjuran terbesar di Asia Tenggara Buat pertama kalinya, acara dikelola bersama oleh RUNRIO Thailand dan SCORE Sports Management Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil, menamatkan perlumbaan pada usia 55 tahun Perlumbaan menawarkan tiga kategori utama dan menyaksikan hampir 500 kanak-kanak mengambil bahagian dalam Spartan Kids Race
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
