'Lebih 50 tahun hidup, kali pertama lihat ribut luar biasa' - Ketua kampung

KUALA LANGAT - “Sudah lebih 50 tahun saya hidup, inilah kali pertama saya saksikan sendiri ribut sekuat ini.”
Demikian cerita Ketua Kampung Medan, Teluk Panglima Garang, Azli Sabirin, yang masih terkejut dengan kejadian ribut luar biasa yang melanda kawasan berkenaan pada Rabu.
Menurutnya, kejadian berlaku sekitar jam 4 petang ketika beliau berada di rumah dan bersiap menunaikan solat Asar sebelum tiba-tiba suasana bertukar gelap dan angin bertiup kencang.
“Tiba-tiba bunyi kuat macam letupan mercun pun ada. Saya keluar rumah walaupun hujan, masa itu nampak zink-zink berterbangan di udara.
“Ribut itu cuma berlaku dalam tempoh beberapa minit, tetapi cukup kuat sehingga menerbangkan bumbung selain menumbangkan tiang elektrik,” katanya ketika ditemui di Dewan Harmoni Kampung Sijangkang di sini pada Khamis.
Beliau berkata, kira-kira tiga atau empat rumah di kawasan bersebelahan rumahnya rosak teruk dengan bumbung tercabut, manakala beberapa tiang elektrik turut tumbang.
Katanya, ribut kali ini jauh lebih dahsyat berbanding kejadian sebelum ini yang hanya menyebabkan pokok tumbang atau beberapa keping zink tercabut.
“Selama saya hidup, tidak pernah jadi macam ini. Kami semua panik, tidak tahu sama ada ribut biasa, puting beliung atau taufan.
“Selepas keadaan reda, saya bersama penduduk kampung segera membantu mangsa terjejas dan melakukan rondaan meninjau keadaan sekitar,” katanya.
Sementara itu, seorang penduduk, Dzulfikri Ahmad Husaini, 44, turut berdepan detik cemas apabila angin kuat menerjah masuk ke dalam rumah.
“Ketika itu saya berada di dapur sedang melakukan kerja. Hujan disusuli guruh dan petir yang kuat, tiba-tiba saya nampak pusaran angin datang dari jalan besar menuju ke arah kampung.
“Saya segera menyuruh dua anak berlindung di bawah meja. Angin kuat masuk ke dalam rumah, kurang dari seminit, suasananya cukup menakutkan,” katanya.
Sementara itu, Ahli Parlimen Kuala Langat, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi turut hadir meninjau beberapa buah rumah penduduk yang terlibat dalam kejadian tersebut.
Ribut yang melanda Kampung Medan pada petang Rabu itu mengakibatkan kerosakan pada 40 rumah, lima sekolah serta sebuah dewan orang ramai di kawasan terjejas.
Antara lokasi terlibat ialah SMK Sijangkang Jaya, SK Sijangkang Jaya, SK Kampung Medan, SRA Kampung Medan, SK Jalan Tanjung serta Dewan Wawasan Batu 9 Kampung Medan.
Ringkasan AI
- Ketua Kampung Medan, Azli Sabirin, melaporkan ribut luar biasa pertama kali dalam lebih 50 tahun
- Ribut berlaku sekitar jam 4 petang, menyebabkan keadaan bertukar gelap dan angin bertiup kencang
- Menyebabkan kerosakan serius termasuk bumbung tercabut dan tiang elektrik tumbang pada beberapa rumah
- Ribut terjadi dalam beberapa minit tetapi lebih dahsyat dari kejadian sebelumnya
- Mengakibatkan kerosakan pada 40 rumah, lima sekolah dan satu dewan orang ramai di Kampung Medan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

