Fazura ‘Luar Biasa’

Fazura tetap positif dalam menghadapi ujian hidup. - Foto : Universal Music Malaysia
Fazura tetap positif dalam menghadapi ujian hidup. - Foto : Universal Music Malaysia
A
A
A

LAPAN bulan bukan masa yang singkat untuk seseorang menghadapi pelbagai perubahan besar dalam hidup.

Namun bagi Nur Fazura Sharifuddin, tempoh itu menjadi titik permulaan untuk bangkit semula.

Bbukan sahaja sebagai selebriti, tetapi sebagai wanita dan ibu yang kuat.

Belum sempat luka sembuh sepenuhnya, satu demi satu ujian lain mendatang, kali ini melibatkan syarikat perniagaannya.

Namun Fazura kekal berdiri. Tidak bersandar pada simpati, apatah lagi bergantung pada naratif sedih. Sebaliknya, dia menelan semuanya dalam diam, lalu menyulamnya menjadi kekuatan baru.

Baginya, urusan perniagaan adalah entiti berasingan. Fazura adalah Fazura; seorang wanita, seorang ibu, seorang insan. Manakala syarikat pula berdiri atas dasar profesionalisme dan peraturan.

"Sejujurnya, tiada apa yang saya boleh jelaskan secara terperinci. Sebab kita kena faham, ini melibatkan dua entiti yang berbeza - Fazura dan juga syarikat.

“Jadi, memang saya tidak boleh komen banyak tentang syarikat dan juga apa sahaja yang berlaku dalam syarikat tersebut," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran muzik video lagunya, Luar Biasa di Aurum TRX Kuala Lumpur

Artikel Berkaitan:

Fazura berkata demikian ketika ditanya mengenai spekulasi dan dakwaan yang timbul sebelum ini, termasuk laporan bahawa syarikatnya berdepan tindakan undang-undang melibatkan saman bernilai RM4.65 juta oleh sebuah pembekal tudung.

Fazura tampil dengan lagu baharu, Luar Biasa ciptaan sepenuhnya Ade Govinda. - Foto: Universal Music Malaysia
Fazura tampil dengan lagu baharu, Luar Biasa ciptaan sepenuhnya Ade Govinda. - Foto: Universal Music Malaysia

Biarpun ada yang mengaitkan masalah syarikat dengan dirinya secara peribadi, Fazura tetap menjaga batas.

Perkara telah pun diserahkan kepada pihak peguam. Dan selebihnya, dia hanya menyerahkan kepada ALLAH SWT.

Jelas Fazura, dia memahami bahawa dalam dunia perniagaan pasti ada cabaran dan itu adalah sebahagian daripada lumrah yang perlu ditempuh oleh mana-mana usahawan.

“Saya tahu, perniagaan saya bukannya kecil. Saya percaya semua usahawan di luar sana, sama ada lelaki mahupun wanita, faham tentang cabaran-cabaran yang dihadapi apabila kita menjalankan perniagaan," ujarnya lagi.

Ditebak tohmahan, dihenyak pelbagai tuduhan, Fazura sedar dirinya diperhatikan setiap masa. Namun dia enggan merosakkan jiwanya hanya kerana suara luar yang tidak pernah puas.

“Saya memang tidak baca media sosial, saya tidak lihat TikTok... saya memang menjaga kesihatan mental saya. Saya mahu hidup dengan tenang, gembira dan saya mahu terus fokus kepada kerjaya, perniagaan dan membesarkan anak saya.

"Anak saya, dialah permata hati saya. Jadi, itulah yang paling penting dalam hidup saya sekarang,” katanya jujur.

Inspirasi

Di sebalik badai yang menggoncang, Fazura tetap berjalan. Langkahnya mungkin perlahan, tetapi tidak pernah berhenti.

Bergerak ke lapangan seni, bintang Gol & Gincu itu muncuk dengan sebuah lagu baharu berjudul Luar Biasa, sebuah karya yang menyuntik semangat, harapan dan kekuatan buat sesiapa sahaja yang pernah jatuh dan kini mahu bangkit semula.

Dicipta sepenuhnya oleh Ade Govinda, lagu ini mengangkat tema perjuangan hidup dan ketabahan hati, dengan susunan muzik yang segar dan melodi yang mampu membangkitkan semangat.

"Saya sangat tersentuh dengan lirik ‘Jatuh itu biasa, bangun itu luar biasa’. Ia benar-benar menggambarkan hakikat hidup kita semua ada perjuangan sendiri.

“Apa yang penting adalah semangat untuk bangkit demi diri sendiri dan orang tersayang. Dengan niat yang baik dan keyakinan kepada ALLAH, kita mampu menghadapi dengan tenang,” jelasnya lagi.

Selesa

Tatkala ramai yang bertanya soal cinta baharu, Fazura memilih untuk jujur tanpa berselindung.

Soal pengganti tidak pernah singgah di fikiran. Bagi Fazura, terlalu awal untuk memikirkan soal itu. Luka masih segar. Dia masih belajar mencintai semula dirinya, memperkuatkan hidup dan membesarkan anaknya.

“Saya rasa macam baru sahaja bercerai. Betul-betul rasa macam baru sangat... Sejujurnya saya sangat gembira, tenang, dan lega. Saya rasa selesa.

“Fokus saya ialah kerjaya, perniagaan dan anak. Alhamdulillah, semangat saya kuat. Dan kekuatan serta ketenangan yang saya peroleh itu datang daripada ALLAH SWT," kata Fazura.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!