Tiada perkataan Zayn Rayyan diabai, didera dalam laporan perubatan - Doktor pakar

Mengikut pertuduhan pindaan, Ismanira didakwa sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap Zayn Rayyan telah mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.
Mengikut pertuduhan pindaan, Ismanira didakwa sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap Zayn Rayyan telah mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.
A
A
A

PETALING JAYA – Seorang doktor pakar psikologi kanak-kanak memberitahu Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin bahawa, berdasarkan laporan perubatan dari Hospital Selayang dan Hospital Sungai Buloh, tidak dinyatakan bahawa Zayn Rayyan Abdul Matin telah diabaikan atau didera.

Pakar Psikologi Kanak-Kanak, Dr Noor Aishah Rosli berkata demikian ketika perbicaraan bela diri yang dihadapi oleh Ismanira Abdul Manaf, 30, atas satu pertuduhan pengabaian dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal terhadap kanak-kanak autisme itu.

Semasa disoal peguam, Haresh Mahadevan, Dr Noor Aishah, 49, berkata, tiada satu pun perkataan dalam laporan polis, bedah siasat dan laporan perubatan yang menjurus kepada elemen pengabaian atau penderaan membabitkan Zayn Rayyan, 6.

Beliau yang juga pemilik sebuah klinik swasta di Bandar Baru Bangi berkata, berdasarkan definisi daripada Persatuan Psikologi Amerika (APA), pengabaian boleh berlaku dalam beberapa bentuk termasuk emosi, fizikal, pendidikan dan keperluan asas seperti makanan dan minuman.

Menurutnya, pengabaian dalam konteks psikologi memerlukan suatu tempoh masa yang berterusan seperti tidak memberi anak makan secara konsisten.

Katanya, definisi tersebut turut disokong oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang menjelaskan konsep pengabaian memerlukan tempoh masa yang konsisten.

“Setahu saya, tiada definisi khusus mengenai pengabaian terhadap kanak-kanak di Malaysia. Oleh itu, saya merujuk kepada badan profesional antarabangsa seperti APA dan WHO.

“Menurut dua badan tersebut, pengabaian merujuk kepada sikap ibu bapa atau penjaga yang tidak memenuhi keperluan asas anak secara berulang, contohnya tidak memberi makan dalam tempoh yang lama,” katanya.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan bahawa jika kanak-kanak tidak diberi makan sekali sahaja kerana penjaganya sakit, ia tidak termasuk sebagai pengabaian kerana tidak berlaku secara berterusan.

Artikel Berkaitan:

Katanya, pengabaian juga boleh berlaku sekiranya hak kanak-kanak untuk mendapat penjagaan dan kasih sayang tidak dipenuhi.

Beliau turut menjelaskan bahawa penderaan boleh berlaku secara fizikal seperti memukul, manakala penderaan seksual pula merujuk kepada memaksa kanak-kanak terlibat dalam tingkah laku seksual.

Saksi tersebut kemudian dirujuk kepada kertas pertuduhan yang dihadapi Ismanira.

Peguam: Adakah doktor melihat dalam kertas pertuduhan bahawa tertuduh dikatakan telah mengabaikan dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal?

Dr Noor Aishah: Saya melihat perkataan ‘mungkin’ itu sebagai sesuatu yang tidak membawa kepada kepastian berlakunya kecederaan fizikal.

Prosiding di hadapan Hakim Dr Syahliza Warnoh bersambung semula pada jam 2 petang.

Mengikut pertuduhan pindaan, Ismanira didakwa sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap Zayn Rayyan, 6, telah mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di kawasan Blok R, Pangsapuri Idaman, Damansara Damai sehingga ke kawasan sungai berdekatan, antara jam 12 tengah hari, 5 Disember 2023 hingga jam 9.55 malam keesokannya.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 31(1) akta sama, yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pada 6 Disember 2023, Zayn Rayyan ditemukan meninggal dunia di anak sungai berhampiran kawasan Pangsapuri Idaman, Damansara Damai, kira-kira jam 10 malam.

Mangsa sebelum ini dilaporkan hilang sebelum ditemui dalam keadaan terbaring, kira-kira 200 meter dari blok kediamannya.

 

 

 

 

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!