Ismanira lemah lembut, tidak tinggalkan Zayn Rayyan sendirian - Kawan baik

PETALING JAYA – Kawan baik kepada ibu Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin memberitahu Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis bahawa, Ismanira Abdul Manaf tidak pernah membiarkan anak-anak bersendirian di taman permainan di Blok R, Pangsapuri Idaman, Damansara Damai.
Penyambut tetamu firma guaman, Umi Syafiqah Rohizal, 30, berkata demikian ketika perbicaraan bela diri hari keempat, kes pengabaian dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal terhadap Zayn Rayyan.
Saksi pembelaan keempat itu juga tidak pernah melihat dua anak lelaki tertuduh ditinggalkan tanpa pengawasan sepanjang menetap di Blok S pangsapuri sama, sejak 2019.
Menurutnya, rakan sejak di bangku sekolah rendah itu sering dilihat memimpin tangan kanak-kanak tersebut ketika menuruni tangga ke tempat meletak motosikal.
“Saya biasa jumpa Ismanira pada waktu pagi sebelum pergi kerja, selalunya ketika dia mahu menghantar anak ke sekolah.
“Sepanjang 21 tahun mengenalinya, dia merupakan seorang yang lemah-lembut dan penyayang,” katanya ketika disoal peguam, Haresh Mahadevan yang mewakili tertuduh.
Umi Syafiqah juga berkata tidak pernah melihat rakannya dan Zaim Ikhwan Zahari, 30, mendera atau mengabaikan anak-anak.
Bagaimanapun, semasa pemeriksaan balas, Timbalan Pendakwa Raya, Nur Sabrina Zubairi mempertikaikan kenyataan saksi dengan menyatakan tiada sesiapa menghantar anak ke sekolah pada jam 9 pagi.
Pendakwaan: Jam berapa puan ke tempat kerja?
Umi Syafiqah: Pada jam 9 hingga 9.30 pagi.
Pendakwaan: Jadi puan nampak Ismanira pada waktu itu?
Umi Syafiqah: Tidak pasti.
Pendakwaan: Tadi puan cakap ternampak tertuduh pada waktu pagi, sekarang beritahu tidak pasti pula, kenapa?
Umi Syafiqah: Kadang-kala saya masuk lambat ke pejabat.
Pendakwaan: Kalau masuk lambat, jam berapa?
Umi Syafiqah: 10 pagi masuk pejabat, pulang jam 7 malam.
Pendakwaan: Puan, tak ada orang hantar anak ke sekolah pada waktu itu.
Umi Syafiqah: Tidak pasti.
Pada Isnin lalu, Ismanira memberitahu telah keluar pada jam 7.30 pagi dan tiba di sekolah Zayn Rayyan 10 minit kemudian.
Wanita itu juga kembali semula ke sekolah itu antara 11.50 pagi untuk mengambil arwah.
Prosiding bersambung di hadapan Hakim, Dr Syahliza Warnoh pada 4 Ogos depan.
Mengikut pertuduhan pindaan, Ismanira didakwa sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap Zayn Rayyan, 6, telah mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.
Kesalahan didakwa dilakukan di kawasan Blok R, Pangsapuri Idaman, Damansara Damai hingga ke kawasan sungai berdekatan, antara jam 12 tengah hari, 5 Disember 2023 dan jam 9.55 malam pada keesokkan harinya.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum bawah Seksyen 31(1) akta sama yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pada 6 Disember 2023, Zayn Rayyan ditemukan meninggal dunia di anak sungai, berhampiran kawasan Pangsapuri Idaman, Damansara Damai, jam 10 malam.
Mangsa sebelum ini dilaporkan hilang, sebelum ditemui terbaring, dengan jarak kira-kira 200meter dari blok kediamannya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

