'Saya mimpi adik minta maaf' - Kakak mangsa lemas di Tasik Menawan

JOHOR BAHRU - "Malam tadi saya mimpi dia datang peluk saya, minta maaf, rupanya itu petanda dia nak pergi selamanya.”
Demikian luah Nur Qisha Adelia Abdullah, 11, kakak kepada seorang daripada dua kanak-kanak yang ditemui lemas di Tasik Menawan, Taman Pelangi Indah di sini malam Selasa.
Menurutnya, kali terakhir dia melihat adiknya, Muhammad Rayyan Iskandar Mohamed Hafizi, 9, ialah ketika kanak-kanak itu bermain bola pada sebelah petang sebelum keluar semula kira-kira jam 6 petang.
“Saya nampak dia main bola kira-kira jam 4 petang, lepas itu dia balik rumah sekejap pada jam 6 petang. Itu kali terakhir saya nampak dia,” katanya sebak ketika ditemui di Unit Perubatan Forensik Hospital Sultan Ismail (HSI) pada Rabu.
Jelas anak sulung daripada dua beradik itu, adiknya sempat mengejutkannya pada pagi kejadian untuk bersarapan bersama namun dia terlewat bangun.
Katanya lagi, dia dan keluarga bergegas ke kawasan tasik selepas diberitahu terdapat kejadian lemas di situ dan terus mengenali batang joran serta pemadam yang digunakan adiknya.
“Kami tunggu adik pulang, tetapi sampai ke malam dia tidak balik rumah. Ibu memaklumkan kepada ayah untuk mencari adik sebelum pihak polis menemui selipar milik adik dan kawannya.
“Bila nampak joran dan selipar itu, saya dah tahu, itu memang adik,” ujarnya.
Dalam pada itu, ibunya, Nur Shuhadah Ramli, 30, berkata, sebelum kejadian, Rayyan sudah dua minggu tidak keluar bermain meskipun diajak rakan-rakan.
“Petang itu bila Khalish (Muhammad Khalish Rayqarl Hasimibudi, 10) datang ajak, dia terus keluar bermain. Katanya nak main, tapi rupanya dia pergi memancing. Dia memang minat memancing.
“Rayyan dan Khalish memang berkawan baik sejak kecil di PPR (Projek Perumahan Rakyat) Pelangi Indah dan bersama-sama bersekolah di SK (Sekolah Kebangsaan) Pelangi Indah,” katanya.
Sementara itu, ibu kepada Muhammad Khalish tidak menyangka aktiviti memancing yang menjadi kebiasaan anaknya bersama rakan baiknya berakhir dengan tragedi apabila kedua-duanya ditemukan lemas di kawasan tasik berhampiran taman perumahan mereka.

Menurut ibunya, Norazmirah Azwab, 42, tiada perubahan pelik pada anaknya sebelum kejadian, malah anaknya kelihatan lebih ceria daripada biasa.
“Khalish anak sulung daripada dua beradik. Dia baru potong rambut dua minggu lepas.
“Nampak kemas, siap sikat dan sapu minyak rambut. Suka tengok diri depan cermin, nampak gembira sangat. Kali ini dia teruja sangat bila sudah potong, tidak seperti sebelum ini,” katanya.
Sebelum itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat menerima panggilan kecemasan jam 9.44 malam Selasa dan tiba di lokasi jam 9.54 malam.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Johor Jaya, Pegawai Bomba Kanan II Mohd Shafie Md Din berkata, di lokasi pihaknya menemui dua selipar dipercayai milik mangsa iaitu Muhammad Rayyan Iskandar Mohamed Hafizi, 9, dan Muhammad Khalish Rayqarl Hasimibudi, 10.
Jelasnya, mangsa ditemukan di bawah batu pada kedalaman tiga meter, kira-kira lima meter dari tebing pada jam 2.28 pagi.
Ringkasan AI
- Nur Qisha Adelia bermimpi adiknya memohon maaf sebelum ditemukan lemas
- Muhammad Rayyan Iskandar, 9, terakhir dilihat bermain bola sebelum kejadian
- Keluarga mengenali batang joran dan selipar milik mangsa di kawasan tasik
- Muhammad Rayyan dan Muhammad Khalish, 10, adalah sahabat baik dan suka memancing
- Dua kanak-kanak ditemukan lemas di bawah batu pada kedalaman tiga meter di tasik
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

