Haram terima sumbangan hasil kegiatan dilarang agama - Mufti

Mufti menegaskan madrasah yang menerima sumbangan hasil daripada kegiatan yang dilarang oleh agama hukumnya haram.
Mufti menegaskan madrasah yang menerima sumbangan hasil daripada kegiatan yang dilarang oleh agama hukumnya haram.
A
A
A

SHAH ALAM – Mufti menegaskan madrasah yang menerima sumbangan hasil daripada kegiatan yang dilarang oleh agama hukumnya haram.

Mufti Kelantan, Datuk Mohd Shukri Mohamed berkata, sebarang aktiviti kehidupan yang boleh membawa kepada kerosakan adalah dilarang.

“Oleh itu, masyarakat Islam dan institusi agama perlu melakukan penyelidikan dan tabayyun terhadap pihak yang kononnya menunjukkan sokongan kepada institusi agama, bagi memastikan wajah sebenar mereka tidak menimbulkan fitnah atau merosakkan reputasi Islam.

“Dalam masa sama, pihak berkuasa perlu mengambil tindakan wajar dan bersesuaian dengan fungsi masing-masing bagi membendung aktiviti tidak sihat sebelum nasi menjadi bubur,” ujarnya kepada Sinar Harian.

Sementara itu, Mufti Pulau Pinang, Datuk Dr Mohd Sukki Othman berkata, perkara tersebut bukan sekadar isu jenayah kewangan, tetapi turut melibatkan maruah dan kesucian institusi agama yang sepatutnya menjadi benteng akhlak.

“Sesebuah madrasah, sekolah pondok, pusat tahfiz dan sebagainya tidak sewajarnya terlibat dengan pihak yang tidak bertanggungjawab melakukan pengubahan wang haram yang sudah tentu tidak akan mendatangkan keberkatan, malah menimbulkan kemurkaan ALLAH SWT.

“Sekiranya sebuah madrasah menerima hasil daripada kegiatan pengubahan wang haram, maka ia dianggap bersubahat dengan perbuatan maksiat tersebut dan ia dikira sebagai mal haram iaitu harta yang diperoleh daripada jalan diharamkan syarak,” ujarnya.

Beliau berpendapat, institusi agama, termasuk madrasah, pondok dan pusat tahfiz perlu berhati-hati agar tidak dijadikan alat kepada pihak tertentu yang mahu menyembunyikan kegiatan haram di sebalik nama Islam.

Katanya, amat menyedihkan apabila ada individu yang menunggang agama untuk mengaburi mata masyarakat dengan nama 'derma' atau 'wakaf ', sedangkan hakikatnya dana itu hasil pengubahan wang haram.

Artikel Berkaitan:

“Bagi mengelakkan penyalahgunaan, semua institusi agama disaran dan diwajibkan supaya berdaftar secara sah dengan pihak berkuasa agama negeri.

“Langkah ini penting bagi memastikan pemantauan, audit dan ketelusan pengurusan dapat dijalankan. Rekod kewangan, akaun bank rasmi serta laporan sumbangan juga wajar dikemaskini secara berkala agar tidak berlaku unsur penyelewengan.

“Dalam masa yang sama, masyarakat juga perlu berhati-hati sebelum menyalurkan sumbangan. Jangan terlalu mudah terpedaya dengan label 'Islamik' atau 'pondok tahfiz' tanpa sebarang bukti sahih,” jelasnya.

Ringkasan AI

  • Mufti menegaskan madrasah yang menerima sumbangan hasil daripada kegiatan haram adalah dilarang
  • Aktiviti yang merosakkan dan membawa kepada kerosakan dalam masyarakat Islam dilarang
  • Masyarakat Islam dan institusi agama perlu melakukan penyelidikan dan tabayyun untuk memastikan sumbangan adalah sah
  • Madrasah tidak sewajarnya terlibat dengan pengubahan wang haram dan perbuatan tersebut dapat menimbulkan kemurkaan ALLAH
  • Institusi agama disaran berdaftar secara sah dan melakukan pemantauan serta audit kewangan untuk mengelakkan penyelewengan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!