Ambil iktibar kisah gaduh mak cik blower, mak cik sapu

KADANG-kadang pelik juga tengok perangai orang hidup berjiran yang suka bergaduh walaupun umur sudah tua, tidak kira lelaki atau perempuan.
Dulu jiran dianggap keluarga terdekat malah kalau sehari dua tak nampak, kita akan mulai risau. Sekarang, jiran boleh jadi musuh bila masing-masing tak nak mengalah nak tunjuk keras kepala.
Begitulah kisah pergaduhan beberapa wanita di sebuah kawasan perumahan di Bukit Gambir, Muar dekat Johor yang tular sehingga diberi gelaran mak cik blower dan mak cik sapu.
Video tular berdurasi lebih satu minit itu memperlihatkan mereka bertengkar mulut sebelum mencetuskan suasana tegang apabila melibatkan penggunaan peralatan seperti blower, penyapu, penyodok sampah dan gayung.
Merak Jalanan sedih melihat gelagat insan yang sudah berusia bergaduh sesama sendiri kerana meraka sepatutnya jadi teladan kepada generasi muda.
Jika masyarakat tidak ambil iktibar, budaya bergaduh dengan jiran ini boleh menjadi-jadi tak kira di rumah teres, flat mahupun rumah kampung.
Lebih membimbangkan, sebarang aksi pergaduhan akan dirakam dan ditularkan di media sosial untuk tontonan ramai. Sangat memalukan bila orang-orang tua bergaduh.
Namun pengajaran yang patut disyukuri bila kumpulan mak cik itu akhirnya bermaafan dan berpelukan bagi menamatkan sengketa lama.
Satu langkah kecil, tapi besar maknanya. Sekurang-kurangnya mereka menunjukkan bahawa ego boleh ditewaskan kalau hati masih ada ruang untuk insaf.
Merak Jalanan berharap kisah ini jadi iktibar kepada semua. Hiduplah berjiran dengan budi, bukan dengan api.
Tak perlu blower atau penyapu untuk buktikan siapa lebih kuat tapi cukup sekadar senyum dan sapa setiap kali bertembung.
Kadang-kadang, damai itu bukan datang daripada siapa paling betul, tapi siapa paling mampu mengalah dengan hati terbuka.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
