Dakwaan perompak kedai emas di Sungai Golok lari ke Malaysia disiasat

Mohd Yusoff (kiri) menyampaikan sijil penghargaan semasa Perhimpunan Bulanan di IPK Kelantan, Kota Bharu pada Selasa. Foto: SINAR HARIAN/HAZELEN LIANA KAMARUDIN
Mohd Yusoff (kiri) menyampaikan sijil penghargaan semasa Perhimpunan Bulanan di IPK Kelantan, Kota Bharu pada Selasa. Foto: SINAR HARIAN/HAZELEN LIANA KAMARUDIN
A
A
A

KOTA BHARU – Polis tetap menyiasat dakwaan bahawa sekumpulan lelaki yang terlibat dalam rompakan kedai emas di Sungai Golok, Thailand baru-baru ini telah melarikan diri ke Malaysia.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, setakat ini pihaknya masih belum menerima sebarang permohonan daripada pihak berkuasa Thailand untuk mendapatkan bantuan dalam menjejak suspek.

“Itu hanya dakwaan sahaja kerana mereka menemui kenderaan yang digunakan untuk rompakan di tepi Sungai Golok berdekatan dengan sempadan,” katanya semasa sidang akhbar selepas merasmikan Perhimpunan Bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini pada Selasa.

Beliau berkata, pihaknya tidak mahu kumpulan perompak itu berada di negeri ini dan pihak berkuasa Thailand sewajarnya memberikan maklumat bagi memudahkan polis menjalankan pencarian.

Mohd Yusoff memberitahu, pihaknya akan memberikan kerjasama penuh dalam siasatan kes tersebut.

Media sebelum ini melaporkan bahawa pihak berkuasa Thailand tidak menolak kemungkinan ada dalam kalangan ahli kumpulan yang merompak kedai emas di Pasar Raya Big-C, Sungai Golok, sudah meloloskan diri ke Malaysia.

Menurut jurucakap Polis Wilayah 9, andaian itu berpandukan kepada penemuan dua buah pikap yang disyaki digunakan kumpulan terbabit di kebun sawit di Mukim Kayukhla, Daerah Waeng.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!