Lelaki bertopeng campak serbuk cili sebelum samun kedai emas

Tangkap layar CCTV menunjukkan seorang lelaki bertopeng menyamun sebuah kedai emas dengan memecahkan cermin pameran menggunakan parang, pada Rabu.
Tangkap layar CCTV menunjukkan seorang lelaki bertopeng menyamun sebuah kedai emas dengan memecahkan cermin pameran menggunakan parang, pada Rabu.
A
A
A

LANGKAWI – Seorang lelaki bertopeng menyamun sebuah kedai emas di Jalan Pandak Mayah 5 di Kuah dengan mencampak serbuk cili ke arah pekerja sebelum memecahkan cermin pameran menggunakan parang dalam kejadian kira-kira jam 11.48 pagi pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata, suspek berusia 45 tahun itu dipercayai bertindak sendirian sebelum melarikan sejumlah barang kemas dianggarkan bernilai RM50,000.

Menurutnya, ketika kejadian, pemilik kedai berusia 69 tahun dan seorang wanita berumur 60 tahun turut berada dalam premis tersebut.

“Suspek kemudian cuba melarikan diri namun dikejar oleh pemilik dan orang awam yang berada di kawasan sekitar.

“Suspek akhirnya berjaya ditahan anggota polis yang sedang membuat rondaan di sekitar kawasan berkenaan,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun bersenjata, yang membawa hukuman penjara sehingga 14 tahun serta sebatan jika disabitkan kesalahan.

Terdahulu, tular sebuah rakaman video kejadian tersebut di laman media sosial yang mendapat reaksi pelbagai pihak.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!