Sindiket ubah taktik seludup hidupan liar secara skala kecil, tapi berulang - JKDM

Anis Rizana
Anis Rizana
A
A
A

SHAH ALAM - Sindiket penyeludupan hidupan liar dikesan mengubah strategi daripada penghantaran berskala besar kepada konsainan kecil berulang menggunakan bagasi penumpang, kurier serta outlet komersial.

Ketua Pengarah Kastam, Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin berkata, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menjadi pusat tumpuan utama (hotspot), manakala Sarawak menunjukkan peningkatan kes berkaitan penyeludupan telur penyu, kura-kura dan reptilia melalui laluan darat serta maritim.

Menurutnya, pendekatan ini menuntut profiling risiko yang lebih mendalam serta pertukaran maklumat risikan antara Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pasukan Keselamatan Penerbangan (AVSEC) dan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) bagi memintas rangkaian sindiket di semua pintu masuk.

"Data OBK kali ini turut menunjukkan peningkatan rampasan barangan berkaitan burung eksotik dan mamalia kecil melalui platform dagangan fizikal dan dalam talian sekali gus menuntut pemantauan yang lebih ketat di peringkat pelabuhan, lapangan terbang serta premis perniagaan.

"Pada 7 Ogos lalu, Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) dengan kerjasama AVSEC, MAHB dan Perhilitan berjaya menggagalkan cubaan membawa keluar lebih 2,500 ekor kura-kura hidup bernilai kira-kira RM348,000 di KLIA," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Beliau berkata, walaupun JKDM tidak terlibat secara langsung dalam operasi ini, namun jabatan berharap dapat terus memainkan peranan penting dalam pemprofilan kargo berisiko tinggi, pengesanan pola perdagangan luar biasa dan penyelarasan maklumat rentas agensi khususnya melalui cadangan penubuhan Customs Intelligence Centre.

Jelasnya, JKDM turut berhasrat memperkukuh sistem pemantauan data eksport dan import di pelabuhan utama negara melalui penggunaan teknologi kamera litar tertutup (CCTV) berpusat dan integrasi maklumat dengan agensi keselamatan sempadan, selaras dengan objektif Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) untuk mewujudkan 'intel-led enforcement ecosystem'.

Kata beliau, OBK merupakan sebuah platform kerjasama strategik yang menghimpunkan pelbagai agensi penguat kuasa antaranya JKDM, PDRM, Perhilitan, Sarawak Forestry Corporation (SFC) dan rakan-rakan strategik lain seperti AVSEC di bawah MAHB.

"Tujuannya adalah untuk membanteras ancaman penyeludupan fauna dan flora yang terancam dan dilindungi di bawah pelbagai perundangan yang dikuatkuasakan di negara ini.

Artikel Berkaitan:

"Analisis OBK dan data yang dibentangkan bagi tempoh bulan April hingga September tahun 2025 menunjukkan terdapat 444 kes tangkapan dan rampasan di seluruh negara.

"Kesalahan tertinggi yang dilaporkan melibatkan kesalahan di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 iaitu sebanyak 158 kes, Akta Kastam 1967 yang melibatkan aktiviti penyeludupan (137 kes) dan Akta Perhutanan Negara 1984 (41 kes) dengan nilai rampasan berjumlah RM204.43 juta," ujarnya.

Menurut beliau, kes yang melibatkan kesalahan di bawah Akta Perhutanan Negara 1984 khususnya di bawah kesalahan memiliki hasil hutan terutamanya gaharu mencatatkan nilai rampasan tertinggi berjumlah RM134.02 juta.

"Keadaan ini menggambarkan permintaan pasaran tinggi terhadap spesis eksotik dan bernilai komersial," ujarnya.

Tegasnya, OBK akan terus menjadi panduan agensi penguatkuasaan dalam melindungi khazanah negara.

 

 

Ringkasan AI

  • Sindiket penyeludupan hidupan liar beralih ke penghantaran konsainan kecil melalui bagasi penumpang dan kurier
  • KLIA menjadi hotspot utama penyeludupan dengan Sarawak menunjukkan peningkatan kes penyeludupan telur penyu, kura-kura dan reptilia
  • Peningkatan rampasan barangan berkaitan burung eksotik dan mamalia kecil memerlukan pemantauan ketat dari pelbagai agensi penguatkuasa
  • Pada 7 Ogos, cubaan menyeludup keluar lebih 2,500 ekor kura-kura di KLIA digagalkan dengan kerjasama beberapa agensi
  • Analisis menunjukkan 444 kes tangkapan dan rampasan dengan nilai RM204.43 juta melibatkan kesalahan di bawah pelbagai akta

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!