Wanita ditahan cuba seludup haiwan liar RM127,000 di KLIA

SEPANG - Taktik seorang wanita warga tempatan cuba menyeludup keluar sembilan ekor haiwan liar yang disembunyikan di dalam bagasi terbongkar susulan dia ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini, pada Isnin.
Menurut kenyataan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) pada Selasa, dalam kejadian pada jam 9.10 malam, pemeriksaan rutin oleh pegawai AKPS di kawasan Hammerhead H2, KLIA Terminal 1, telah menemui sembilan ekor haiwan liar dalam bagasi.
"Pemeriksaan dilakukan ke atas bagasi milik seorang wanita berusia 36 tahun yang dijadualkan berlepas ke Hyderabad, India.
"Antara haiwan yang dirampas adalah empat ekor disyaki siamang, seekor beruk dan empat sugar glider yang dianggarkan bernilai RM127,000," katanya.
Menurutnya, kesemua haiwan itu merupakan spesies yang dilindungi dan dipercayai diseludup untuk tujuan perdagangan haram antarabangsa.
"Suspek telah dibawa ke Balai Polis KLIA untuk siasatan lanjut. Kes disiasat di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 [Akta 716] serta Akta Perdagangan Antarabangsa Mengenai Spesies Terancam 2008 [Akta 686]," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
