‘Saya akan berjuang demi keadilan ibu dan adik’ – Anak mangsa bunuh 2 beranak

SIK – Anak kepada mangsa bunuh dua beranak menuntut agar keadilan ditegakkan buat ibu dan adiknya yang ditemui maut di rumah sewa mereka di Kampung Sekolah, Juru, Seberang Perai pada Sabtu.
Mohd Noor Hafifi Hassan, 28, anak kepada Sariya Che Hin, 51, berkata, dia tidak akan berdiam diri sekiranya wujud cubaan mana-mana pihak untuk menutup kebenaran kes berkenaan.
“Kalau ada tangan-tangan yang cuba tutup kes ini, saya takkan biar ia berlaku. Saya akan berjuang sampai habis. Ini sahaja yang saya mampu buat untuk balas jasa ibu dan adik saya,” kata abang kepada Nur Afrina Alisha Abdul Rahim, 11, yang turut menjadi mangsa dalam kejadian menyayat hati itu.
Hafifi turut merayu agar orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian yang menimpa keluarganya.
Menurutnya, mereka sekeluarga masih trauma dan terkejut dengan tragedi yang berlaku.
“Saya harap netizen jangan buat spekulasi atau tuduhan melulu. Kami masih bersedih dan perlukan ruang untuk tenangkan diri.
“Saya harap orang ramai tidak menambah kesedihan kami dengan menyebarkan andaian atau maklumat tidak sahih di media sosial,” katanya.

Hafifi yang merupakan seorang jurutera di Perak juga meminta agar orang ramai menyerahkan sepenuhnya kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan.
“Kalau sesiapa ada bukti, laporkan sahaja ke balai polis, jangan sebar di media sosial,” ujarnya.
Ditanya mengenai kali terakhir dia berhubung dengan ibunya, Hafifi memaklumkan bahawa dia ada menghubungi ibunya beberapa hari sebelum kejadian menerusi aplikasi WhatsApp.
“Saya memang nak balik pada Sabtu atau Ahad. Bila saya dapat panggilan malam itu, saya macam tak percaya. Tapi bila sampai rumah dan tengok sendiri, polis pun ramai, saya reda,” ujarnya sebak.
Tambahnya, pesanan terakhir arwah ibunya agar sentiasa berbuat baik dan akan menjadi pegangan sepanjang hayat.
“Ibu selalu pesan, jadi anak yang baik, jangan buat jahat pada orang walau orang buat kita macam-macam. Pesan itu akan saya pegang sampai bila-bila,” katanya.
Dalam pada itu, Hafifi berharap masyarakat mengambil iktibar daripada tragedi berkenaan dengan mengutamakan kasih sayang dan keharmonian dalam keluarga.
“Hargailah orang yang kita sayang selagi mereka masih ada. Saya berterima kasih kepada semua yang membantu urusan jenazah ibu dan adik saya dari awal hingga selesai dikebumikan,” katanya.
Jenazah dua beranak itu selamat dikebumikan dalam satu liang lahad kira-kira jam 8.30 malam Ahad di Tanah Perkuburan Islam Masjid al-Maarif, Jeneri.
Terdahulu, media melaporkan mayat Sariya dan Nur Afrina Alisha ditemui di dalam rumah sewa mereka pada jam 7.30 malam Sabtu dalam keadaan mengerikan dengan kesan tikaman dan kelar pada beberapa anggota badan termasuk kepala dan tangan yang hampir putus.
Kedua-dua mayat dihantar ke Hospital Seberang Jaya, Pulau Pinang untuk proses bedah siasat sebelum dibawa pulang ke Jeneri untuk dikebumikan.
Suami mangsa yang berusia 57 tahun dan bekerja sebagai pengawal keselamatan telah ditahan bagi membantu siasatan dan kini direman selama tujuh hari selepas perintah dikeluarkan oleh Majistret Roshayati Radellah di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam.
Ringkasan AI
- Anak kepada mangsa bunuh dua beranak di Kampung Sekolah, Juru, menuntut keadilan
- Mohd Noor Hafifi Hassan berjanji akan berjuang untuk kebenaran kes ibu dan adiknya
- Hafifi memohon orang ramai tidak membuat spekulasi dan menyerahkan siasatan kepada polis
- Arwah ibu pesan kepada Hafifi untuk sentiasa berbuat baik
- Jenazah ibu dan adiknya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid al-Maarif, Jeneri
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

