Pesara rugi lebih RM134,000 ditipu rakan kongsi perniagaan

Seorang pesara kerugian lebih RM134,000 akibat diperdaya rakan kongsi perniagaan. Gambar hiasan
Seorang pesara kerugian lebih RM134,000 akibat diperdaya rakan kongsi perniagaan. Gambar hiasan
A
A
A

MARAN - Seorang pesara kerugian lebih RM134,000 selepas dipercayai diperdaya rakan kongsi perniagaan berkaitan pembinaan yang disertai sejak tahun lalu.

Ketua Polis Daerah Maran, Superintendan Wong Kim Wai berkata, mangsa berusia 55 tahun mendakwa berkenalan dengan suspek, seorang lelaki warga tempatan, sebelum ditawarkan peluang kerjasama dalam perniagaan berkenaan.

Menurutnya, mangsa bersetuju mengeluarkan modal sepenuhnya termasuk wang pusingan selain menanggung kos pembelian kenderaan untuk kegunaan perniagaan.

"Dalam tempoh Jun hingga Disember tahun lalu, mangsa mendakwa telah membuat 27 transaksi kewangan melalui pindahan wang secara dalam talian ke akaun syarikat milik suspek selain serahan tunai membabitkan jumlah keseluruhan RM134,560," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Kim Wai berkata, mangsa mengesyaki dirinya ditipu selepas mendapati suspek gagal membeli kenderaan seperti dijanjikan selain menyalahgunakan modal yang diberikan.

"Pesara itu turut mendapati suspek bersama keluarga telah berpindah dan gagal dihubungi sejak 7 Januari lalu.

"Mangsa syak suspek melarikan diri bersama wang miliknya lalu tampil membuat laporan polis," katanya.

Menurutnya, kes itu disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

"Siasatan lanjut sedang dijalankan termasuk mengesan suspek dan mengumpul keterangan berkaitan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati sekiranya ditawarkan peluang kerjasama perniagaan atau pelaburan.

"Pastikan setiap urusan kewangan disertakan perjanjian bertulis yang sah selain semak latar belakang individu dan perniagaan terbabit.

"Elakkan membuat bayaran tanpa dokumen sokongan lengkap," ujarnya.

Ringkasan AI

  • Seorang pesara kerugian lebih RM134,000 akibat diperdaya dalam perniagaan pembinaan
  • Berkenalan dengan suspek sebelum ditawarkan peluang kerjasama dalam perniagaan
  • Mangsa mengeluarkan modal sepenuhnya termasuk wang pusingan dan kos pembelian kenderaan
  • Melakukan 27 transaksi kewangan melalui pindahan wang dalam talian dan serahan tunai
  • Suspek bersama keluarga gagal dihubungi selepas dipercayai melarikan diri dengan wang mangsa

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!