Polis siasat semua sudut cari motif pembunuhan dua beranak

BUKIT MERTAJAM – Polis akan menyiasat dari semua sudut bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian pembunuhan kejam melibatkan dua beranak yang berlaku di Kampung Sekolah, Juru, di sini pada Sabtu lalu.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail berkata, siasatan sedang dijalankan secara menyeluruh memandangkan motif kejadian masih belum dapat dipastikan.
Menurutnya, semua bahan bukti yang diperoleh dalam kes berkenaan akan digunakan bagi membantu siasatan.
“Kita akan siasat semua aspek bagi mencari punca sebenar pembunuhan dua beranak ini,” katanya ketika dihubungi pada Isnin.
Katanya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Pada Ahad, Sinar Harian melaporkan dua beranak yang dibunuh dalam kejadian tragis di Kampung Sekolah, Juru disahkan meninggal dunia akibat luka parah pada bahagian leher dipercayai akibat senjata tajam seperti pisau pemotong daging.
Perkara itu disahkan Pakar Patologi Forensik Hospital Pulau Pinang, Datuk Dr Zahari Noor melalui hasil bedah siasat yang dilakukan.
Polis turut menahan reman suami mangsa berusia 57 tahun selama tujuh hari bermula Ahad hingga 25 Oktober ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Polis juga menemui sebilah pisau dalam semak berhampiran lokasi pembunuhan ngeri dua beranak itu pada malam kejadian.
Mangsa dua beranak berkenaan dikenal pasti sebagai Sariya Che Hin, 51, manakala anak angkatnya berusia 11 tahun dikenali sebagai Nur Afrina Alisha Abdul Rahim.
Jenazah dua beranak itu selamat dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Al-Ma’arif Jeneri, Sik, pada malam Ahad.
Ringkasan AI
- Polis menyiasat pembunuhan kejam dua beranak di Kampung Sekolah, Juru
- Motif kejadian masih belum dapat dipastikan
- Siasatan berlandaskan semua bahan bukti yang diperoleh
- Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan
- Pisau ditemui dalam semak berhampiran lokasi pembunuhan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

