Rayuan akhir pembebasan Isa Samad esok

PUTRAJAYA – Hujahan rayuan akhir pendakwaan terhadap pembebasan bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad atas sembilan kes rasuah lebih RM3 juta berhubung pembelian Merdeka Palace Hotel Suites (MPHS) di Kuching, Sarawak dijadualkan berlangsung di Mahkamah Persekutuan di sini pada Khamis.
Berdasarkan semakan laman web kehakiman, kes dihadapi Mohd Isa, 77, didengar pada jam 9 pagi di hadapan beberapa hakim, yang mana senarai nama mereka akan dimaklumkan kemudian.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan, pendengaran rayuan itu sepatutnya bermula 29 Oktober 2025, tetapi dijadualkan semula kepada 4 Disember tahun sama, selepas Mohd Isa selaku responden melantik peguam baharu.
Mohd Isa melantik firma guaman Tetuan Hafarizam Wan & Aisha Mubarak mewakilinya, bagi menggantikan Tetuan Salehuddin Saidin & Associates.
Sebelum ini, Datuk Salehuddin Saidin mewakili Mohd Isa di Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan sebelum beliau dilantik sebagai Senator Dewan Negara.
Bagaimanapun, tarikh pendengaran 4 Disember itu ditangguhkan lagi kerana Mohd Isa dimasukkan ke hospital.
Pada 3 Februari 2021, Mohd Isa dihukum penjara 54 tahun dan denda RM15.45 juta selepas didapati bersalah atas semua pertuduhan itu.
Bagaimanapun, semua hukuman penjara diperintahkan berjalan serentak, menjadikan tempoh pemenjaraan berkuat kuasa selama enam tahun.
Keputusan itu dibuat oleh Hakim Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali, yang kini Hakim Mahkamah Persekutuan, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah.
Pada 6 Mac 2024, bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu dilepas dan dibebaskan selepas panel tiga hakim Mahkamah Rayuan sebulat suara mengetepikan sabitan serta hukuman berkenaan.
Panel yang dipengerusikan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera, kini Hakim Mahkamah Persekutuan, bersama Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim dan Datuk S M Komathy Suppiah membuat keputusan itu selepas membenarkan rayuan Mohd Isa.
Susulan keputusan berkenaan, pihak pendakwaan memfailkan notis rayuan pada 7 Mac 2024 dan petisyen rayuan pada 26 Jun tahun sama dengan mengemukakan 24 alasan bagi mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan.
Pendakwaan merayu agar Mahkamah Persekutuan mengembalikan keputusan Mahkamah Tinggi pada 3 Februari 2021 yang mendapati Mohd Isa bersalah dan menjatuhkan hukuman penjara enam tahun serta denda RM15.45 juta dan penjara 18 tahun sekiranya gagal membayar denda.
Petisyen itu antara lain menyatakan Mahkamah Rayuan terkhilaf daripada segi undang-undang apabila membatalkan dapatan Mahkamah Tinggi bahawa Mohd Isa mengarahkan bekas pegawai khas politiknya, Muhammad Zahid Md Arip untuk meminta rasuah daripada seorang Ahli Lembaga Pengarah Gegasan Abadi Properties Sdn Bhd (GAPSB), Ikhwan Zaidel.
Pihak pendakwaan menyatakan, mereka telah mengemukakan bukti bahawa selepas dua pertemuan, Mohd Isa secara tidak langsung mengarahkan Muhammad Zahid untuk meminta rasuah daripada Ikhwan.
Muhammad Zahid kemudian bertindak mengikut arahan berkenaan dengan menyerahkan wang rasuah itu secara berperingkat kepada Mohd Isa.
Pendakwaan turut menyatakan Mahkamah Rayuan terkhilaf daripada segi undang-undang apabila mendapati wujud bukti daripada Ikhwan yang menunjukkan Mohd Isa tidak pernah meminta habuan daripada beliau dalam dua pertemuan di pejabatnya.
Mohd Isa didakwa pada 2018 atas sembilan pertuduhan menerima suapan berjumlah RM3.09 juta daripada Ahli Lembaga Pengarah GAPSB ketika itu, Ikhwan Zaidel sebagai balasan meluluskan pembelian MPHS oleh Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FICSB) pada harga RM160 juta.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Menara Felda, Persiaran KLCC, Kuala Lumpur antara 21 Julai 2014 hingga 11 Disember 2015.
ARTIKEL BERKAITAN: Rasuah: Isa Samad dihukum penjara enam tahun, denda RM15.45 juta
Rayuan pendakwaan terhadap pembebasan Isa Samad didengar 4 Disember
Pendakwaan kemuka 24 alasan rayuan terhadap keputusan mahkamah bebaskan Isa Samad
Ringkasan AI
- Hujahan rayuan akhir pendakwaan terhadap pembebasan Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad berlangsung di Mahkamah Persekutuan Putrajaya
- Mohd Isa didakwa atas sembilan kes rasuah lebih RM3 juta berkaitan pembelian Merdeka Palace Hotel Suites
- Pendengaran rayuan yang sepatutnya bermula 29 Oktober 2025 dijadualkan semula ke 4 Disember tahun sama
- Mohd Isa dihukum penjara 54 tahun dan denda RM15.45 juta pada 3 Februari 2021, tetapi hukuman penjara berjalan serentak menjadikan enam tahun
- Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Rayuan pada 6 Mac 2024
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

