Boyat makanan ruji orang dulu-dulu, manisan tradisional yang hampir dilupakan

ALOR GAJAH - Makanan tradisional berasaskan tepung sagu yang dikenali sebagai boyat hasil air tangan seorang warga emas di sini terus mendapat tempat di hati penggemarnya.
Ab Kahhar Jaafar, 65, berkata, makanan tersebut telah dijual di Kampung Pulau, Masjid Tanah di sini sejak 12 tahun lalu sebelum berpindah ke lokasi lain tidak jauh dari gerai asalnya.
Menurutnya, menjual makanan tradisional itu merupakan idea isterinya iaitu Noraida Muhamad, 59, memandangkan ia sukar ditemui sekali gus dapat memperkenalkan boyat yang pernah menjadi makanan ruji orang dahulu ketika sawah padi dilanda banjir kepada generasi muda.

Katanya, makanan tersebut dihidangkan bersama gula Melaka dan santan.
Selain itu jelasnya, boyat juga sering dihidangkan seperti cendol dengan mencampurkan kacang, jagung dan ais.
"Di tempat lama selain cendol boyat saya juga ada menjual nasi ayam namun sekarang saya lebih fokus menjual cendol boyat dan mee rebus.
"Ada juga pelanggan yang datang dari luar Melaka kerana cendol boyat ini jarang ditemui sekarang, setahu saya di Kampung Pulau dan juga di Londang Masjid Tanah ada peniaga menjualnya," katanya.
Ab Kahhar berkata, antara pilihan yang dijual ialah boyat biasa berharga RM4 sebekas atau RM5 dibungkus, manakala boyat kacang jagung pula dijual pada harga RM5 sebekas atau RM6 dibungkus.

Ujarnya, bahan utama boyat seperti tepung sagu rembia diperoleh dari Terengganu dan Kelantan, namun bekalan itu kini sukar didapati menyebabkan mereka hanya menjual apabila stok tersedia.
"Pokok sagu rembia dah susah nak dapat, jadi bila stok tak ada, memang saya dan isteri tak buat boyat sebab bahan kena asli jadi kami akan jual cendol biasa.
"Ada juga yang nak buat tempahan untuk majlis tapi saya tak terima, takut tak menang tangan jadi lebih selesa menjual boyat di tepi jalan," katanya lagi.
Tambahnya, setiap hidangan disediakan sendiri menggunakan bahan segar dan tanpa bahan pengawet termasuk santan dan gula Melaka.
"Kami nak kekalkan rasa asal boyat macam dulu-dulu, walaupun remeh, tapi puas hati bila pelanggan kata sedap dan ingatkan mereka pada makanan arwah mak dulu,” katanya.
Pelanggan, Norin Mohd Dewa 59 dari Alor Gajah berkata, makanan tersebut diketahui ketika menyertai satu program berdekatan kampung tersebut beberapa bulan lalu.

"Tak ramai yang menjual cendol boyat jadi disebabkan rasannya yang sedap buatkan saya nak menikmati sekali lagi.
"Lagipun harga berpatutan, sebelum ini saya tak tahu tapi bila dah tahu dan rasanya sedap memang tak rugi datang," katanya.
Gerai kecil yang diusahakan itu beroperasi setiap hari dari jam 10 pagi hingga 4 petang dan sering menjadi tumpuan pelanggan setia yang datang bukan sahaja untuk menikmati rasa unik boyat, malah mengimbau nostalgia zaman dahulu.
Malah gerai Cendol Boyat Kampung Pulau itu turut menjadi simbol ketekunan pasangan suami isteri dalam mengekalkan warisan kulinari Melayu yang hampir dilupakan.
Ringkasan AI
- Makanan tradisional berasaskan tepung sagu dikenali sebagai boyat popular di Alor Gajah
- Dihasilkan oleh Ab Kahhar Jaafar, usahawan berumur 65 tahun, menjual boyat sejak 12 tahun lalu
- Boyat disediakan bersama gula Melaka dan santan, dan bisa seperti cendol dengan tambahan kacang, jagung dan ais
- Bahan utama dari Terengganu dan Kelantan, susah didapati menyebabkan jualan hanya bila stok ada
- Gerai Cendol Boyat Kampung Pulau menjadi tumpuan untuk menikmati rasa unik dan mengimbau nostalgia
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!


