Jangan hadkan hanya perubatan Islam: Mufti Perlis

Mohd Asri Zainul Abidin
Mohd Asri Zainul Abidin
A
A
A

ALOR SETAR - Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin menegur sesetengah pihak yang menggunakan istilah 'perubatan Islam' secara tidak tepat khususnya dalam perkembangan semasa sehingga segelintirnya mengambil kesempatan terhadap perniagaan dan sebagainya.

Melalui laman web rasmi Jabatan Mufti Perlis, beliau berkata, setiap ubat bermanfaat adalah diiktiraf Islam dan tidak terbatas hanya kepada yang disebutkan dalam hadis sambil memberitahu perubatan Islam juga tidak seharusnya dihadkan kepada jenis bahan serta cara tertentu sahaja.

Menurutnya, apa sahaja ubat yang mengikut kaedah perubatan yang betul, ia diizinkan syarak termasuklah perubatan dan ubat yang disebut oleh Nabi S.A.W atau selainnya yang mengikut disiplin ilmu perubatan.

"Maka, perubatan moden atau Cina atau India atau Melayu yang berasaskan kaedah yang benar, bukan haram, khurafat atau syirik, maka ia adalah perubatan yang diizinkan oleh Islam.

"Bahkan jika diyakini boleh menyembuhkan seseorang yang sakit, maka ia disuruh oleh Islam tanpa mengira asal usul perubatan tersebut," katanya melalui laman web tersebut di ruangan Minda Mufti bertajuk 'Perubatan Islam: Istilah yang disalahgunakan'.

Beliau berkata, secara umumnya, hadis perubatan bertujuan untuk memberitahu bahawa setiap individu perlu berubat berasaskan bahan yang digunakan dalam perubatan yang diyakini boleh memberikan kesan.

"Nabi S.A.W menyebut bahan.yang ada dalam masyarakat baginda dan digunakan serta memberi kesan pada zaman dan iklim baginda.

"Bahan.itu boleh diambil iktibar dan digunakan, namun bukanlah semestinya pilihan yang terbaik bagi setiap masa, tempat dan keadaan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau juga menegaskan bahawa tiada istilah 'perubatan Islam' yang hanya merujuk kepada jampi atau bahan yang disebutkan oleh Nabi S.A.W semata-mata, sebaliknya melalui hadis, Nabi S.A.W menyebut perubatan dan ubat secara umum, tanpa mengehadkannya.

"Maka, setiap orang hendaklah berusaha mencari ubat yang paling berkesan," katanya.

Melalui ruangan tersebut, beliau juga turut menyertakan dalil daripada hadis untuk rujukan mana-mana pihak berhubung perbahasan isu berkenaan.