‘Jadi manusia yang bertoleransi walaupun dengan bukan Islam’

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari (kiri) bersama bekas Mufti Besar Mesir, Prof Dr Ali Jum'ah Muhammad Abdul Wahab (bawah, tengah) dan Timbalan Rektor UIA, Prof Dr Akmal Khuzairy Abd Rahman (bawah, kiri) pada majlis Munaqasyah Ilmiah yang diadakan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIA) pada Rabu. - Foto Sinar Harian ROSLI TALIB
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari (kiri) bersama bekas Mufti Besar Mesir, Prof Dr Ali Jum'ah Muhammad Abdul Wahab (bawah, tengah) dan Timbalan Rektor UIA, Prof Dr Akmal Khuzairy Abd Rahman (bawah, kiri) pada majlis Munaqasyah Ilmiah yang diadakan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIA) pada Rabu. - Foto Sinar Harian ROSLI TALIB
A
A
A

GOMBAK - Bekas Mufti Besar Mesir, Professor Dr Ali Jum'ah Muhammad Abdul Wahab menegaskan bahawa tidak seharusnya umat Islam mempunyai had toleransi kepada individu bukan Muslim.

Menurut beliau yang merupakan ulama antarabangsa, seharusnya seorang yang bergelar Islam perlu menjadi seorang yang dipenuhi rahmah dan kasih sayang.

“(Sebagai) Islam, perlu jadi orang yang berkasih sayang, tolak ansur yang tidak ada sempadan. Kalau letak sempadan (tolak ansur), macam mana? Takkan kita mahu pukul orang bukan Islam pakai selipar.

“Mengikut keadaan maksudnya, kalau sudah berlebihan. Baru ambil tindakan. Jangan sesekali kita hadkan toleransi kepada mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sesi soal jawab sempena Festival Turath Islami acara ke-enam yang bertajuk ‘Cabaran Terhadap Tradisi Turath Dalam Abad ke-21’ di Dewan Senat, Universiti Islam Antarabangsa pada Rabu.

Selain Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, majlis tersebut disertai seramai 145 alim ulama pelbagai institusi pengajian Islam tradisional dari seluruh negara, ahli-ahli akademik universiti tempatan dan pemimpin badan bukan kerajaan (NGO) Muslim.

Sebelum ini Sinar Harian melaporkan, Festival Turath Islami yang pertama kali dianjurkan itu akan berlangsung selama enam hari bermula 20 Mei hingga 25 Mei ini.

Menurut Amirudin, festival anjuran kerajaan negeri itu akan mengangkat perbincangan serta penghayatan tentang kitab Ihya’ ‘Ulumudin karya Imam Al-Ghazali.

Selain itu, menurut Ali Jum'ah, penduduk Malaysia amat dikenali dengan keistimewaan sikapnya yang lemah lembut tanpa mengira kaum.

Jelasnya, perkara tersebut perlu diterapkan dan disebar luas kepada orang ramai agar diskriminasi tidak berlaku.

“Orang Malaysia di antara keistimewaan (sikap) adalah dia lembut. Ini perangai yang sepatutnya. Bukannya melimitkan sopan santun kepada orang luar,” ujarnya.