'Abang lori' buang muatan batu elak disaman

SEREMBAN – Bagi mengelak daripada disaman kerana membawa muatan berlebihan, seorang pemandu lori yang diarahkan ke Stesen Timbang Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Pedas, Rembau bertindak membuang muatan batu yang dibawa di tepi jalan.
Meskipun ketika itu diiringi kenderaan JPJ ke lokasi, pemandu lori berusia 39 tahun itu tetap berbuat demikian selepas mendakwa diarahkan oleh syarikatnya.
Pengarah JPJ Negeri Sembilan, Hanif Yusabra Yusuf berkata, lori tersebut ditahan pihaknya sekitar jam 10.30 pagi pada Jumaat di Jalan Labu selepas dikesan membawa muatan berlebihan.
“Kita telah arahkan lori itu ditimbang di stesen timbang JPJ dan mengiringinya dari belakang untuk ke lokasi.
“Namun secara tiba-tiba, lori itu berhenti di tepi jalan dan membuang muatan batu yang dibawa,” katanya ketika sidang akhbar Kempen Keselamatan Jalan Raya Sempena Perayaan Deepavali Peringkat Negeri Sembilan di Plaza Tol Senawang, pada Jumaat.

Menurutnya, pemandu berkenaan memaklumkan bahawa dia bertindak demikian atas arahan syarikatnya.
Jelas Hanif Yusabra, tindakan tersebut boleh dianggap sebagai menghalang tugas penjawat awam dan boleh dikenakan tindakan undang-undang.
“Saya ingin mengingatkan bahawa bagi insiden seperti melarikan diri daripada sekatan JPJ, tidak hadir ke pusat timbang apabila diarahkan, mematikan sistem navigasi atau GPS (Sistem Penentududukan Sejagat), membuang muatan secara haram serta gagal berhenti apabila diarahkan, boleh dianggap sebagai menghalang penjawat awam menjalankan tugas.
“Kita telah menyerahkan pemandu berkenaan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut,” katanya.
Tambah beliau, pemeriksaan lanjut juga mendapati lesen Kenderaan Barangan (GDL) lelaki itu telah tamat tempoh.
Sementara itu, katanya, sejajar dengan arahan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkaitan pematuhan undang-undang berat muatan kenderaan perdagangan, pihaknya akan melaksanakan Ops Perang Lebih Muatan.
“Kita akan mempertingkatkan pemeriksaan di lokasi-lokasi strategik seperti lebuh raya, kawasan industri dan laluan utama lori muatan berat.
“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang berulang kali melakukan kesalahan, termasuk penggantungan permit kenderaan dan tindakan mahkamah sekiranya perlu,” katanya.
Tambahnya, berdasarkan statistik dari Januari hingga 15 Oktober, daripada 45,641 kenderaan perdagangan yang diperiksa, sebanyak 12,756 daripadanya telah dikenakan tindakan atas pelbagai kesalahan.
Ringkasan AI
- Pemandu lori diarahkan ke Stesen Timbang JPJ di Pedas, Rembau untuk mengelak saman muatan berlebihan tetapi membuang muatan batu di tepi jalan
- Pemandu berusia 39 tahun bertindak membuang muatan atas arahan syarikat
- Lori ditahan JPJ di Jalan Labu sekitar jam 10.30 pagi pada Jumaat
- Tindakan membuang muatan oleh pemandu boleh dianggap sebagai menghalang tugas penjawat awam
- Pemandu diserahkan kepada polis untuk siasatan lanjut dan didapati lesen Kenderaan Barangan (GDL) tamat tempoh
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

