Lelaki serang pemandu lori di Tol Kempas gara-gara bunyi hon

JOHOR BAHRU – Polis sudah membuka kertas siasatan berhubung insiden pergaduhan membabitkan dua lelaki di Plaza Tol Kempas, Lebuhraya Utara-Selatan selepas video kejadian tersebut tular di media sosial.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang lelaki tempatan berusia 31 tahun kira-kira jam 5.35 petang, Ahad lalu.
“Siasatan awal mendapati kejadian berlaku pada hari yang sama sekitar jam 2.30 petang ketika pengadu sedang menunggu giliran untuk membayar tol.
“Pengadu yang memandu lori dikatakan membunyikan hon kerana sebuah kereta jenis Proton Wira di hadapannya tidak bergerak walaupun palang tol telah terbuka,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Menurut beliau, situasi itu mencetuskan pertengkaran apabila seorang lelaki tidak dikenali keluar dari pintu penumpang kereta tersebut lalu meminta pengadu membuka pintu lori.
“Setelah pintu dibuka, lelaki berkenaan didakwa memukul muka dan kepala pengadu beberapa kali sebelum pengadu bertindak mempertahankan diri dengan menendang lelaki terbabit keluar dari lori,” katanya.
Balveer berkata, kejadian dipercayai berpunca daripada rasa tidak puas hati kerana dibunyikan hon.
Jelas beliau, pengadu mengalami kesakitan di bahagian belakang kepala akibat kejadian itu.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 160 Kanun Keseksaan kerana bergaduh di tempat awam.
"Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara hingga enam bulan atau denda sehingga RM1,000 atau kedua-duanya sekali,” katanya.
Sebelum itu, tular video menunjukkan seorang penumpang kereta Proton Wira turun dari kereta selepas sebuah lori membunyikan hon.
Lelaki terbabit bertindak membuka pintu lori dan pemandu lori memintanya supaya 'jalanlah'.
Kemudiannya lelaki terbabit berulang kali bertanya 'kenapa?' sambil melempang dan memukul kepala pemandu lori tersebut.
Pemandu lori itu seterusnya memukul dan menendang lelaki berkenaan sehingga lelaki terbabit terkeluar jatuh dari lori.
Insiden tegang itu kemudiannya dileraikan oleh pengawal keselamatan di plaza tol berkenaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

