Pemimpin Sabah gesa Putrajaya segera laksana keputusan Mahkamah Tinggi

KOTA KINABALU – Pemimpin Sabah menyifatkan keputusan Mahkamah Tinggi yang memihak kepada Persatuan Undang-Undang Sabah (SLS) dalam tuntutan berhubung hak 40 peratus hasil bersih negeri sebagai kemenangan besar bagi rakyat Sabah, sekali gus membuktikan bahawa hak tersebut dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan.
Pemangku Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Seri Joachim Gunsalam berkata, keputusan itu mengesahkan tanggungjawab perlembagaan dan moral kerajaan Persekutuan untuk menunaikan apa yang telah dipersetujui dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Keputusan ini membuktikan apa yang telah lama diperjuangkan oleh rakyat Sabah, bahawa hak 40 peratus bukanlah satu keistimewaan, tetapi merupakan hak perlembagaan yang dijamin kepada negeri ini,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Menurutnya, selepas hampir lima dekad isu ini terabai, kini tiba masanya untuk memperbetulkan kealpaan sejarah dan menunaikan janji perlembagaan yang termaktub sejak pembentukan Malaysia.
Joachim turut menegaskan bahawa kerajaan Persekutuan perlu segera mematuhi perintah mahkamah dengan memulakan semakan dalam tempoh 90 hari dan mencapai persetujuan dengan kerajaan negeri dalam tempoh 180 hari, seperti yang diarahkan.
“Perintah mahkamah ini mesti dihormati tanpa sebarang alasan atau penangguhan. Keadilan yang ditangguh adalah keadilan yang dinafikan,” katanya.
Tambah beliau, keputusan itu juga seharusnya menjadi titik penyatuan kepada semua pemimpin Sabah tanpa mengira fahaman politik dalam mempertahankan hak negeri di bawah MA63 dan Perlembagaan Persekutuan.
“PBS konsisten memperjuangkan pemulihan hak-hak Sabah sejak dahulu lagi. Keputusan ini adalah langkah penting ke arah mengembalikan keseimbangan dalam Persekutuan Malaysia,” katanya.
Sementara itu, Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau, turut menyifatkan keputusan tersebut sebagai kemenangan besar untuk Sabah dan berharap kerajaan Persekutuan tidak akan memfailkan rayuan terhadap keputusan itu.
“Saya berharap agar kerajaan Persekutuan menghormati keputusan mahkamah dan segera melaksanakan tanggungjawab yang telah ditetapkan,” katanya.
Menurut beliau, keputusan Mahkamah Tinggi mengarahkan supaya rundingan antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri diadakan dalam tempoh 90 hari bagi menentukan jumlah sebenar hasil bersih 40 peratus yang perlu dikembalikan kepada Sabah.
Madius, yang konsisten memperjuangkan isu itu di Parlimen, menegaskan bahawa hak tersebut perlu segera dilaksanakan seperti yang termaktub dalam MA63.
“Syukur, mahkamah telah membuat ketetapan yang berpihak kepada Sabah.
“Saya menyeru semua pihak, termasuk kerajaan persekutuan, kerajaan negeri dan SLS, untuk bekerjasama memastikan hak Sabah dapat dilaksanakan segera,” katanya.
Mahkamah Tinggi sebelum ini turut menetapkan bahawa pelaksanaan bayaran mesti dibuat dalam tempoh 180 hari selepas rundingan selesai, selaras dengan peruntukan di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan.
Ringkasan AI
- Pemimpin Sabah menyambut baik keputusan Mahkamah Tinggi yang memihak kepada Persatuan Undang-Undang Sabah dalam tuntutan hak 40 peratus hasil bersih negeri
- Keputusan ini dianggap sebagai pemenuhan tanggungjawab perlembagaan dan moral kerajaan Persekutuan berkaitan Perjanjian Malaysia 1963
- Ia membuktikan hak 40 peratus hasil bersih negeri Sabah merupakan hak perlembagaan yang dijamin, bukan keistimewaan
- Kerajaan Persekutuan diarahkan memulakan semakan dalam tempoh 90 hari dan mencapai persetujuan dengan kerajaan negeri dalam tempoh 180 hari
- Keputusan mahkamah ini diharapkan mendorong kerjasama antara kerajaan Persekutuan dan Sabah untuk melaksanakan tanggungjawab yang telah ditetapkan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
