'Rogol dan bunuh di sekolah, masih nak nafi hukuman rotan untuk mendidik?' - Akmal Saleh

Dr Muhamad Akmal. Foto Facebook Akmal Saleh
Dr Muhamad Akmal. Foto Facebook Akmal Saleh
A
A
A

SHAH ALAM - Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh mempersoalkan pendirian Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang menolak menggunakan rotan sebagai alat mendidik meskipun sudah berlaku dua insiden gempar melibatkan pelajar sekolah iaitu kes rogol bergilir-gilir pada minggu lalu dan bunuh pada awal pagi Selasa.

Dr Muhamad Akmal berkata, pihaknya hairan dengan kenyataan dikeluarkan Ketua Pengarah Pendidikan, Dr Mohd Azam Ahmad baru-baru ini kerana baginya, sistem dahulu yang menggunakan rotan bertujuan mendidik mampu membentuk keperibadian dan kemenjadian seseorang sehingga ke hari ini.

"Masih lagi kita nak menafikan hukuman rotan untuk mendidik? Dengan mengatakan negara lain tidak menggunakan rotan, tetapi melahirkan generasi beradab?

"Saya kongsikan masalah di sekolah negara maju contohnya di United Kingdom (UK) yang tidak menggunakan rotan sebagai mendidik, hasilnya mereka mengumpul hampir 1,664 aduan mengenai gangguan seksual di sekolah rendah sahaja.

"Apa yang beradab cuba dimaksudkan kementerian yang ingin diambil daripada pendekatan di negara maju ini? Sedangkan dalam Islam, ada hukuman memukul anak dengan cara betul dan niat mendidik jika mereka tinggal solat," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Selasa.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan, KPM menegaskan pendiriannya untuk tidak menggunakan rotan sebagai alat mendidik murid, sebaliknya menekankan pendekatan pendidikan berasaskan nilai, adab dan pembangunan karakter.

Mohd Azam berpendapat, kementerian melihat keperluan untuk membentuk generasi beradab dan berakhlak tinggi melalui bimbingan serta teladan, bukannya hukuman fizikal.

Beliau berkata, negara-negara maju membuktikan bahawa sistem pendidikan yang menolak penggunaan rotan masih mampu melahirkan generasi berdisiplin dan beretika.

Mengulas lanjut, Dr Muhamad Akmal berpandangan, pelajar perlu dibentuk dengan cara tersendiri tanpa terlalu mengikut budaya dan gaya hidup negara lain.

Artikel Berkaitan:

Ia kerana menurutnya, tindakan mencontohi negara lain dibimbangi tidak sesuai dengan gaya hidup di Malaysia hingga akhirnya memberikan kesan negatif kepada orang ramai.

"Nasihat saya, lain padang lain belalang. Kita bentuk cara kita, jangan terlampau mengikut orang lain yang berbeza budaya dan cara hidup, akhirnya tidak sesuai dengan kita di sini.

"Masa depan generasi mendatang bergantung kepada kita sekarang. Sistem dahulu mampu menjadikan siapa diri kita hari ini, kenapa mahu menafikannya?" soalnya.

Justeru, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu turut mencadangkan beberapa langkah penambahbaikan selain mengembalikan kuasa rotan dengan niat mendidik kepada guru.

"Antaranya, kementerian sudah boleh mula laksana kewajipan saringan kesihatan mental kepada semua pelajar.

"Selain itu, menambah lagi penggunaan kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan sekolah serta mengawal kandungan dan penggunaan internet dalam kalangan pelajar.

"Akhir sekali, saya ingin menzahirkan salam takziah kepada keluarga mangsa yang ditikam (kes di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama). Semoga keadilan diberikan sebaik mungkin kepada mereka," ujarnya.

Ringkasan AI

  • Ketua Pemuda UMNO mempersoalkan pendirian KPM yang menolak rotan sebagai alat mendidik
  • Beliau menyatakan kehairanan terhadap kenyataan Ketua Pengarah Pendidikan mengenai penolakan penggunaan rotan
  • Datuk Dr Muhamad Akmal menyatakan sistem pendidikan lama menggunakan rotan telah membentuk kemenjadian positif
  • KPM menegaskan pendekatan berasaskan nilai, adab dan pembangunan karakter tanpa hukuman fizikal
  • Datuk Dr Muhamad Akmal mencadangkan langkah penambahbaikan termasuk kewajipan saringan kesihatan mental dan penggunaan CCTV di sekolah

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!