AKPS fokus pembangunan teknologi sempadan pintar, sumber manusia

Mohd Shuhaily (kiri) pada Majlis Sambutan Ulang Tahun Pertama AKPS pada Jumaat.
Mohd Shuhaily (kiri) pada Majlis Sambutan Ulang Tahun Pertama AKPS pada Jumaat.
A
A
A

PUTRAJAYA – Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) menumpukan fokus pembangunan teknologi sempadan pintar serta sumber manusia sebagai teras utama dalam memperkukuh keselamatan dan integriti pintu masuk negara.

Ketua Pengarah AKPS, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, usaha itu menjadi antara agenda utama selepas genap setahun agensi tersebut beroperasi secara rasmi di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN).

“Selepas melalui fasa penubuhan dan pengambilalihan fungsi daripada enam agensi teras, tumpuan AKPS kini beralih kepada pelaksanaan pelan strategik agensi serta pembangunan sistem sempadan pintar yang akan menjadi nadi kepada operasi di masa hadapan termasuk sistem biometrik bersepadu, pengimbasan automatik kargo, integrasi data masa nyata dan analitik berasaskan kecerdasan buatan (AI)," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Sambutan Ulang Tahun Pertama AKPS di sini pada Jumaat yang disempurnakan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Kawalan) KDN, Datuk Makhzan Mahyuddin.

Mohd Shuhaily berkata, pelan strategik itu akan menjadi peta hala tuju jangka panjang AKPS dalam memastikan operasi kawalan dan fasilitasi sempadan dilaksanakan secara seragam, moden dan bersepadu di semua pintu masuk antarabangsa.

“Lima agenda utama kami selaras dengan amanat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim iaitu fasilitasi perdagangan, pelancongan, peningkatan hasil negara, penutupan ketirisan hasil kerajaan dan pengukuhan integriti serta profesionalisme pegawai,” jelasnya.

Beliau turut memaklumkan bahawa AKPS kini dalam fasa kedua pelaksanaan pengambilalihan baki pintu masuk antarabangsa yang masih aktif.

"Ia dijangka selesai menjelang Januari 2026, sekali gus meluaskan penguasaan agensi kepada 125 pintu masuk di seluruh negara," katanya.

Sejak mula beroperasi pada 1 Januari 2025, AKPS telah mengambil alih peranan enam agensi utama termasuk Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis), Kementerian Kesihatan Malaysia, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Artikel Berkaitan:

Katanya, dengan penambahan 1,053 pegawai kastam pada awal Oktober ini, kekuatan anggota AKPS kini meningkat kepada 6,215 orang.

“Pertambahan ini membawa tanggungjawab besar kepada AKPS untuk memastikan setiap operasi pemeriksaan barangan di 22 pintu masuk antarabangsa berjalan lancar dan bebas daripada sebarang unsur ketirisan,” katanya.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada mantan Ketua Pengarah AKPS pertama, Datuk Seri Hazani Ghazali serta bekas Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Borhan Dollah atas peranan penting mereka dalam penubuhan agensi sejak 2021.

Mohd Shuhaily yakin dengan sokongan padu KDN serta semangat kerja berpasukan warga AKPS, agensi itu akan terus menjadi benteng utama negara dalam menjaga keselamatan, kedaulatan dan kesejahteraan rakyat.

 

Ringkasan AI

  • Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia fokus pada pembangunan teknologi sempadan pintar dan sumber manusia
  • Telah beroperasi secara rasmi selama setahun di bawah Kementerian Dalam Negeri
  • Melaksanakan pelan strategik yang merangkumi sistem biometrik bersepadu dan analitik kecerdasan buatan
  • Bertujuan memastikan operasi kawalan sempadan seragam, moden dan bersepadu
  • Dalam fasa kedua pelaksanaan dengan objektif menguasai 125 pintu masuk menjelang Januari 2026

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!