AKPS ambil alih sepenuhnya tugas pemeriksaan di pintu sempadan negara

PUTRAJAYA – Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) kini secara rasmi mengambil alih sepenuhnya fungsi pemeriksaan di pintu masuk sempadan negara yang sebelum ini dilaksanakan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).
Ketua Pengarah Kastam Malaysia, Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin berkata, langkah itu adalah sebahagian daripada inisiatif kerajaan memperkukuh kawalan keselamatan dan penguatkuasaan di sempadan.
Beliau berkata, secara keseluruhan, sebanyak 1,053 waran perjawatan pegawai JKDM telah dipindahkan kepada AKPS
"Fasa pertama pelaksanaan bermula pada 1 Januari lalu di Rantau Panjang, Kelantan melibatkan lapan pegawai JKDM yang dipindahkan ke AKPS.
"Fasa kedua melibatkan 21 pintu masuk tambahan dengan perpindahan seramai 1,045 pegawai pada 1 Oktober 2025," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Katanya, dengan pengambilalihan itu, AKPS kini bertanggungjawab melaksanakan pemeriksaan terhadap pergerakan individu, kenderaan serta barangan dagangan di semua pintu masuk sempadan negara.
"JKDM pula akan terus kekal sebagai agensi pemungut cukai tidak langsung utama negara di semua pintu masuk darat, laut dan udara dengan memberi tumpuan kepada fungsi teras iaitu penaksiran serta kutipan cukai," katanya.
Menurutnya, pengukuhan peranan AKPS diyakini mampu memperkukuh usaha membanteras penyeludupan serta jenayah rentas sempadan serta menjamin keselamatan rakyat dan memelihara kedaulatan negara.
"JKDM optimis kerjasama erat dengan AKPS akan memastikan proses pelepasan dagangan dan pergerakan individu berjalan lancar serta menyumbang kepada peningkatan hasil negara," katanya.
Ringkasan AI
- Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) secara rasmi mengambil alih fungsi pemeriksaan sempadan dari Jabatan Kastam Diraja Malaysia
- Langkah ini bertujuan memperkukuh kawalan keselamatan dan penguatkuasaan di sempadan
- Seramai 1,053 waran perjawatan pegawai JKDM telah dipindahkan kepada AKPS
- Pengambilalihan ini membolehkan AKPS bertanggungjawab terhadap pemeriksaan individu, kenderaan, dan barangan dagangan
- JKDM akan terus berperanan sebagai agensi pemungut cukai tidak langsung utama di pintu masuk negara, fokus pada penaksiran dan kutipan cukai
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

