MK LAND perkukuh legasi hijau di Langkawi menerusi program ‘The Green Walk’

Nazri Tumin (tengah) bersama lebih 100 peserta The Green Walk, satu lagi inisiatif ESG oleh MK Land dengan sokongan LADA dan SWCorp
Nazri Tumin (tengah) bersama lebih 100 peserta The Green Walk, satu lagi inisiatif ESG oleh MK Land dengan sokongan LADA dan SWCorp
A
A
A

MK Land Holdings Berhad (MK Land) menerusi cabang hospitaliti dan pelancongannya, Ombak Villa Langkawi (OVL) dengan kerjasama Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) dan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) terus memperkasa komitmen terhadap kelestarian pesisir Langkawi menerusi program ‘The Green Walk’.

Program yang menghimpunkan lebih 100 sukarelawan itu merupakan salah satu inisiatif Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) MK Land bertujuan memupuk kesedaran komuniti terhadap pemeliharaan alam sekitar dan kelestarian pesisir pantai Langkawi.

Ketua Pegawai Operasi (Wilayah Utara) MK Land, Nazri Tumin berkata, kelestarian bukan sekadar matlamat atau slogan korporat tetapi satu amanah dan tanggungjawab yang perlu dilaksanakan sepenuh hati.

“Melalui inisiatif seperti ‘The Green Walk’, kami berharap dapat menggalakkan komuniti setempat untuk sama-sama memelihara keindahan alam semula jadi Langkawi.

“Walau sekecil mana pun tindakan itu impaknya tetap besar dalam melestarikan alam serta memupuk rasa tanggungjawab bersama,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, dengan sokongan sukarelawan daripada OVL dan rakan kerjasama strategik seperti LADA dan SWCorp, program ini membawa mesej ringkas tetapi mendalam di mana setiap langkah kecil yang diambil bersama mampu membawa perubahan besar.

 

Para peserta berjaya mengutip lebih 250 kilogram sisa buangan di sepanjang pesisir pantai Langkawi menerusi inisiatif ‘The Green Walk’.
Para peserta berjaya mengutip lebih 250 kilogram sisa buangan di sepanjang pesisir pantai Langkawi menerusi inisiatif ‘The Green Walk’.

Artikel Berkaitan:

Program ‘The Green Walk’ berlangsung sepanjang kawasan ‘breakwater’ di Padang Mat Sirat, Langkawi merangkumi laluan sejauh dua kilometer dari Ombak Villa Langkawi hingga ke penghujung struktur ‘Wave Breaker’.

Ia bukan sekadar pembersihan pesisir tetapi juga mencerminkan komitmen bersama dalam memelihara keindahan semula jadi pantai Langkawi serta menanam semangat tanggungjawab terhadap alam sekitar.

Peserta memulakan aktiviti dengan menyarung sarung tangan, membawa beg sampah dengan satu misi membalas jasa pulau yang tidak pernah putus memberi.

Dalam tempoh kira-kira dua jam, para sukarelawan berjaya mengutip dan mengasingkan sisa buangan kepada empat kategori utama iaitu plastik, kertas, logam dan lain-lain bahan seperti tayar terpakai.

Setiap jenis sisa direkod dan didokumenkan bagi menyokong pelaporan dan penjejakan data kelestarian MK Land sebagai sebahagian daripada rangka kerja pemantauan jangka panjang ESG.

Data ini bukan sekadar angka malah menjadi gambaran penting tentang jenis dan punca sisa yang paling banyak menjejaskan ekosistem di pesisir pantai Langkawi.

Program ini turut seiring dengan Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (SDG) 14: Kehidupan di Bawah Air, yang menekankan pengurangan pencemaran marin serta perlindungan habitat pesisir pantai.

Dengan mengurangkan pembuangan sisa plastik dan bahan buangan lain yang mengancam hidupan laut, ‘The Green Walk’ memperkukuh lagi komitmen M K Land terhadap prinsip ESG, memastikan pembangunan dan kelestarian alam dapat berjalan seiring.

Sejak penubuhannya, MK Land telah membina legasi pembangunan berteraskan kelestarian.

Komitmen ini jelas dapat dilihat dengan projek ruang acara terbaharu syarikat pembangunan hartanah itu di Langkawi, Senja by Ombak Villa Langkawi (SENJA) yang bukan sahaja direka dan dibina dengan penekanan terhadap kepelbagaian fungsi dan keindahan alam semula jadi tetapi juga memberi tumpuan kepada aspek kelestarian alam sekitar.

Projek ini menampilkan ciri reka bentuk mesra alam seperti pemasangan 24 panel solar, sistem tadahan air hujan, pengudaraan semula jadi dan kaedah penyejukan pasif sekaligus menjadikannya ruang acara tepi laut pertama di Malaysia yang diperakui oleh Green Real Estate (GreenRE) dengan pengiktirafan Gangsa.

Sejak fasa awal pembinaan SENJA, prinsip legasi hijau telah menjadi keutamaan, lebih 3,000 pokok renek ditanam dan 33 pokok kelapa matang di tapak pembinaan dikekalkan untuk mengekalkan kelestarian landskap serta pemasangan 24 panel solar untuk mengurangkan penggunaan tenaga.

Selain itu, penggunaan panel cermin besar turut memaksimumkan pencahayaan semula jadi manakala sistem tadahan air hujan dibangunkan untuk menjimatkan penggunaan air serta meminimumkan kesan terhadap alam sekitar.

Di samping itu, kemudahan penginapan turut menyokong keupayaan SENJA untuk menjadi ruang penganjuran acara berskala besar, dengan 79 suite, 15 vila laut, enam bilik di Langkawi Lagoon serta 55 bilik tambahan di Kuala Melaka Inn.

Keseluruhan kapasiti ini membolehkan SENJA menampung sehingga 700 tetamu pada satu masa.

Di OVL, amalan kelestarian juga diterapkan dalam operasi harian melalui inisiatif taman herba, ‘Daun & Akar’ di mana herba dan hasil tanaman dituai segar untuk kegunaan penyediaan makanan di dapur.

Taman herba ini juga turut mengamalkan teknik kompos Lasagna yang menukar sisa organik seperti daun, rumput dan sisa makanan kepada baja semula jadi yang kaya dengan nutrien, seterusnya digunakan semula di kebun ‘Daun & Akar’.

Semua usaha ini mencerminkan iltizam berterusan MK Land untuk memberi impak positif kepada alam sekitar dan komuniti, memastikan setiap pembangunan di bawah kelolaannya berkembang seiring dengan kelestarian, demi masa depan yang hijau dan mampan.

Dalam pada itu, lebih daripada sekadar aktiviti pembersihan, The Green Walk mengajak sukarelawan menghargai keindahan sekeliling dan menyedari betapa pentingnya laut yang menjadi nadi Langkawi.

Ujar Nazri, program ini juga memberi pengalaman nyata tentang bagaimana sisa yang sering dipandang ringan mampu memberi kesan besar kepada hidupan marin dan ekosistem pesisir.

“Ombak Villa Langkawi memberi kami perspektif langsung tentang keindahan dan kepentingan pesisir Langkawi.

“Melalui program The Green Walk hari ini, kami berjaya mengutip lebih 250 kilogram sisa buangan sepanjang tiga kilometer pesisir pantai di Padang Mat Sirat, Langkawi," katanya.

Ini membuktikan komitmen MK Land dalam memulihara pesisir dan ekosistem marin selaras dengan SDG 14 sambil menyemai kesedaran dan semangat tanggungjawab dalam komuniti.

Setiap langkah kecil yang diambil bersama hari ini adalah langkah nyata ke arah masa depan pesisir yang lebih lestari.

Dengan inisiatif ini juga, MK Land bukan sahaja memastikan kawasan pesisir pulau lebih bersih, ia turut menanam semangat keprihatinan, tanggungjawab bersama dan kesedaran terhadap kelestarian dalam komuniti sekali gus memperkukuh legasi hijau MK Land untuk masa depan generasi akan datang.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!