KDEBWM-UUM jalin kerjasama TVET perkasa pengurusan sisa

Ramli (tiga dari kiri) menyerahkan replika cek kepada Mohd Foad (tiga dari kanan) pada Majlis Penyerahan Laporan Kajian, Penyerahan Dana Sumbangan dan Pelancaran Sistem Pengurusan TVET UUM-KDEBWM pada Jumaat.
Ramli (tiga dari kiri) menyerahkan replika cek kepada Mohd Foad (tiga dari kanan) pada Majlis Penyerahan Laporan Kajian, Penyerahan Dana Sumbangan dan Pelancaran Sistem Pengurusan TVET UUM-KDEBWM pada Jumaat.
A
A
A

SHAH ALAM - KDEB Waste Management (KDEBWM) menjalin kerjasama strategik bersama Universiti Utara Malaysia (UUM) menerusi Pelancaran Sistem Pengurusan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) UUM-KDEBWM di sini pada Jumaat.

Pengarah Urusan KDEBWM, Datuk Ramli Mohd Tahir berkata, inisiatif itu sebagai simbolik kepada permulaan fasa baharu kerjasama antara kedua-dua pihak dalam memperkasa TVET dalam sektor pengurusan sisa.

"Kami di KDEBWM melihat kepakaran institusi pengajian tinggi amat diperlukan bagi memperkukuh kemahiran dan pengetahuan teknikal dalam pengurusan sisa pepejal.

"Melalui kolaboratif ini, pegawai dan kakitangan kami akan didedahkan dengan pembelajaran TVET yang mampu meningkatkan kecekapan operasi dan profesionalisme,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Laporan Kajian, Penyerahan Dana Sumbangan dan Pelancaran Sistem Pengurusan TVET UUM-KDEBWM di sini pada Jumaat.

Menurut Ramli, kerjasama itu penting bagi memastikan tenaga kerja KDEBWM dan pihak berkepentingan lain memperoleh ilmu TVET secara formal selaras dengan keperluan industri pengurusan sisa yang semakin kompleks.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada UUM yang diterajui Naib Canselornya, Profesor Datuk Dr Mohd Foad Sakdan dan pasukan penyelidik atas usaha menghasilkan kajian akademik dan membangunkan sistem TVET yang memberi manfaat langsung kepada KDEBWM.

"Ini bukan kerjasama pertama kami bersama UUM, malah ini merupakan program ketiga yang dijalankan secara bersama.

"UUM sememangnya universiti pakar dalam bidang pengurusan dan kami percaya kerjasama ini mampu memperkukuh aspek teori dan sistem kerja kami,” katanya

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Ramli menjelaskan, inisiatif bersama itu bakal menjadi batu loncatan kepada kerjasama lebih luas pada masa depan, termasuk dengan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS) lain.

"Kita mulakan langkah pertama bersama UUM dan jika berjaya dilaksanakan dengan baik, saya yakin model ini boleh diperluas kepada universiti lain serta industri berkaitan di seluruh negara,” katanya.

Sementara itu, Mohd Foad menyifatkan kerjasama strategik antara UUM dengan KDEBWM itu sebagai langkah penting memperkukuh hubungan universiti dan industri demi pembangunan tenaga kerja berkemahiran tinggi.

Beliau berkata, inisiatif itu membuka ruang kepada penyelidik dan ahli akademik menyalurkan kepakaran mereka secara langsung kepada masyarakat dan industri.

Menurut beliau, kolaboratif itu bukan sahaja memperkukuh bidang TVET tetapi juga memperluas peranan universiti dalam membangunkan kesejahteraan masyarakat melalui aplikasi praktikal hasil kajian dan kepakaran akademik.

Mengulas mengenai sistem TVET yang dibangunkan, Mohd Foad berkata, aplikasi itu akan dibuka kepada semua individu dari pelbagai latar belakang bagi memudahkan pendaftaran dan padanan kemahiran dengan agensi atau institusi berkaitan.

"Melalui aplikasi ini, individu yang mendaftar akan dikenal pasti mengikut kemahiran dan keperluan masing-masing sebelum disalurkan kepada agensi atau institusi latihan yang bersesuaian sekali gus membantu mereka mendapatkan hala tuju lebih jelas dalam bidang kemahiran," tambah beliau.

Ringkasan AI

  • KDEB Waste Management menjalin kerjasama strategik dengan Universiti Utara Malaysia untuk memperkuat TVET dalam sektor pengurusan sisa
  • Inisiatif ini diharap dapat meningkatkan kecekapan operasi dan profesionalisme pegawai dan kakitangan KDEBWM
  • Kerjasama ini penting untuk memastikan tenaga kerja memperolehi ilmu TVET selaras dengan keperluan industri pengurusan sisa yang kompleks
  • Ini merupakan program kerjasama ketiga antara KDEBWM dengan UUM dan diharapkan dapat memperkukuh aspek teori dan sistem kerja
  • Kolaborasi ini dianggap sebagai langkah penting untuk memperkuat hubungan antara universiti dan industri demi pembangunan tenaga kerja berkemahiran tinggi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!