Pelan gencatan senjata Gaza: Masih banyak isu belum selesai

Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, berucap pada Sidang Kemuncak Keamanan Sharm El-Sheikh di pusat peranginan Laut Merah, Sharm El-Sheikh, Mesir.
Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, berucap pada Sidang Kemuncak Keamanan Sharm El-Sheikh di pusat peranginan Laut Merah, Sharm El-Sheikh, Mesir.
A
A
A

BAITULMAQDIS – Walaupun pembebasan tebusan Israel dan tahanan Palestin membawa kelegaan kepada banyak pihak, pelan gencatan senjata Gaza yang diusahakan oleh Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, masih berdepan pelbagai persoalan penting yang belum terjawab.

Pelan yang dirangka bersama menantunya, Jared Kushner, dilihat sebagai langkah segera bagi menghentikan perang dua tahun antara Israel dan Hamas.

Namun, para penganalisis geopolitik antarabangsa memberi amaran bahawa pendekatan 'selesaikan dahulu, bincang kemudian' ini mungkin mengulangi kegagalan Perjanjian Oslo yang pernah menemui jalan buntu tiga dekad lalu.

Penarikan tentera Israel diragui

Setakat ini, Israel dilaporkan telah berundur dari beberapa bandar utama Gaza ke satu kawasan 'garisan kuning', yang masih meliputi kira-kira 53 peratus wilayah berkenaan.

Pelan asal menyatakan pengunduran penuh hanya akan berlaku selepas pasukan penstabilan antarabangsa ditempatkan.

Lori membawa bantuan yang masuk ke Gaza melalui lintasan Karm Abu Salem melintasi khemah pelarian di Kem Pelarian Nuseirat, Gaza Tengah,sehari selepas gencatan senjata antara Israel dan Palestin.
Lori membawa bantuan yang masuk ke Gaza melalui lintasan Karm Abu Salem melintasi khemah pelarian di Kem Pelarian Nuseirat, Gaza Tengah,sehari selepas gencatan senjata antara Israel dan Palestin.

Namun, kenyataan terbaru Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu menunjukkan sebaliknya. Beliau menegaskan bahawa Pasukan Pertahanan Israel (IDF) masih berada 'jauh di dalam wilayah Gaza dan mengawal semua titik strategik'.

Artikel Berkaitan:

Pemerhati antarabangsa menilai peluang pengunduran sepenuhnya sebagai tipis, mengambil kira pengalaman lalu apabila Israel mengekalkan kawalan ketenteraan di beberapa wilayah selepas perjanjian damai, termasuk di Syria dan Lubnan.

Isu pelucutan senjata Hamas

Pelucutan senjata Hamas merupakan teras utama pelan Trump, tetapi kumpulan itu menolak tuntutan berkenaan.

Seorang pegawai kanan Hamas memberitahu Agensi Berita Perancis (AFP) bahawa 'permintaan untuk menyerahkan senjata tidak akan dibincangkan'.

Hamas, yang mengekalkan kuasa melalui kekuatan ketenteraan, tidak dijangka akan bersetuju dengan syarat tersebut tanpa jaminan keselamatan yang kukuh.

Tambahan pula, tiada butiran teknikal dikemukakan mengenai cara pelucutan senjata akan dijalankan, menimbulkan persoalan tentang pelaksanaannya secara realistik.

Penduduk Palestin yang kehilangan tempat tinggal berjalan melepasi bangunan musnah ketika pulang ke rumah masing-masing di kawasan al-Zahra, utara Kem Pelarian Nuseirat di Gaza Tengah.
Penduduk Palestin yang kehilangan tempat tinggal berjalan melepasi bangunan musnah ketika pulang ke rumah masing-masing di kawasan al-Zahra, utara Kem Pelarian Nuseirat di Gaza Tengah.

Peranan pasukan penstabilan Antarabangsa

Pelan Rumah Putih menyebut penubuhan International Stabilisation Force (ISF) yang terdiri daripada negara-negara Arab dan rakan antarabangsa. Namun, mandat sebenar pasukan itu masih kabur sama ada di bawah naungan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) atau sebaliknya.

Sumber diplomatik Barat memberitahu Financial Times bahawa pasukan itu mungkin tidak akan menentang Hamas secara langsung, sebaliknya hanya berfungsi sebagai pengimbang bagi mengelak konflik tercetus semula.

Namun, banyak pihak skeptikal sama ada pasukan itu mampu berfungsi dengan berkesan, mengambil kira kelemahan operasi pasukan pengaman di selatan Lubnan sebelum ini.

Jentolak yang dikendalikan Majlis Perbandaran Gaza melalui kawasan penempatan pelarian untuk membersihkan runtuhan bangunan di jalan utama Gaza City ketika gencatan senjata antara Israel dan Palestin.
Jentolak yang dikendalikan Majlis Perbandaran Gaza melalui kawasan penempatan pelarian untuk membersihkan runtuhan bangunan di jalan utama Gaza City ketika gencatan senjata antara Israel dan Palestin.

Pembinaan semula Gaza dan tadbir urus Palestin

Trump menjanjikan 'rancangan Marshall baharu' bagi membangunkan semula Gaza, tetapi tiada perincian jelas mengenai sumber dana atau mekanisme pemantauan.

Pengalaman selepas perang 2014 menunjukkan proses pembinaan semula berjalan amat perlahan akibat sekatan ketat dan pasaran gelap bahan binaan.

Lebih membimbangkan, pelan pentadbiran peralihan Gaza dirangka tanpa penglibatan wakil Palestin tempatan. Cadangan untuk mengembalikan peranan Pihak Berkuasa Palestin di bawah Presiden Mahmoud Abbas juga mendapat tentangan kerana dianggap tidak lagi mewakili suara rakyat Gaza.

Sebahagian penganalisis memberi amaran bahawa penyingkiran menyeluruh individu yang pernah berkhidmat di bawah pentadbiran Hamas boleh mengundang kekacauan seperti yang berlaku di Iraq selepas penggulingan rejim Baath.

Dengan pelbagai persoalan yang belum dijawab, pelan gencatan senjata Gaza ini masih jauh daripada menjamin keamanan berkekalan – sekali gus mengingatkan dunia bahawa keadilan dan kestabilan di bumi Palestin memerlukan lebih daripada sekadar perjanjian di atas kertas.-Agensi

Ringkasan AI

  • Pelan gencatan senjata Gaza oleh Presiden Amerika, Donald Trump diragukan kerana pendekatan 'selesaikan dahulu, bincang kemudian' yang mungkin mengulang kegagalan Perjanjian Oslo
  • Israel berundur dari beberapa bandar utama Gaza tetapi masih mengawal sekitar 53 peratus wilayah serta titik strategik
  • Hamas menolak permintaan pelucutan senjata yang merupakan teras utama pelan Trump
  • Peranan pasukan penstabilan antarabangsa yang terdiri daripada negara-negara Arab dan rakan antarabangsa masih kabur
  • Trump menjanjikan 'rancangan Marshall baharu' untuk pembinaan semula Gaza tetapi tanpa perincian jelas sumber dana atau mekanisme pemantauan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!